Normal 0 false false false false EN-US X-NONE AR-SA

UCAPAN DASAR

PRESIDEN PER
SATUAN MAHASISWA ISLAM UTM

SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PMIUTM KALI KE -7

TEMA : TEKNOKRAT DAKWAH MEMIMPIN UMMAH



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,



اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.





Yang Dimuliakan Tuan Pengerusi Tetap,

Yang Dikasihi Sdr Timbalan Presiden dan Naib Presiden PMIUTM,

Yang Dikasihi Sdri Pengerusi dan Timbalan Pengerusi HEWI PMIUTM,

YBrs Barisan Majlis Eksekutif dan Majlis Tertinggi PMIUTM,

YBrs Pengarah Mesyuarat Agung Tahunan PMIUTM kali-7,

Para Perwakilan dan semua tetamu, jemputan serta pemerhati yang dihormati sekalian.



MUQADDIMAH

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

1. Pertamanya, saya ingin melahirkan rasa kesyukuran yang setinggi-tingginya ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan inayah, kasih sayang, serta keizinannya kita dipertemukan oleh Allah s.w.t. di dalam Persatuan Mahasiswa Islam UTM (PMIUTM) kali ke-7 bagi sesi 2009/2010 ini. Sekali lagi, saya panjatkan rasa takzim yang tidak terhingga kepadaNya kerana medan tarbiyyah Ramadhan yang kita selesai tempuhi baru-baru ini, memimpin diri kita untuk terus hadir dalam Mesyarat Agung Tahunan PMIUTM kali ini dengan matlamat untuk terus menyokong organisasi yang melebarkan sayap dakwah di UTM.

2. Dengan penuh rasa kesyukuran dan berbesar hati, izinkan saya bagi pihak kepimpinan PMIUTM dan juga Panitia Mesyuarat Agung kali ini, mengalu-ngalukan kehadiran para jemputan kehormat, para perwakilan, para pemerhati dan seterusnya tetamu yang dimuliakan lagi dikasihi sekalian dengan ucapan “Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum”-“Selamat Datang dan Salam Sejahtera”. Mudah-mudahan perhimpunan kita pada hari ini dengan membawa misi untuk mengangkat keizzahan Islam dan beramal dengannya mendapat payungan rahmat serta kasih sayang Allah dari awal hingga akhirnya.

3. ‘Teknokrat Dakwah Memimpin Ummah’ telah disepakati oleh pimpinan sedia ada untuk dinobatkan sebagai tema Mesyarat Agung Tahunan PMIUTM kita yang ke-7 pada kali ini. Harapan yang sebegini besar dilontarkan kepada sidang muktamar sekalian agar suatu bentuk perbahasan yang lebih mantap dapat kita padukan pada kali ini supaya benar-benar harapan yang menggunung daripada kepimpinan lepas dengan temanya ‘Satu Hati’ wujud suatu kesinambungan yang bertali arus buat kepimpinan yang bakal menerajui PMIUTM akan datang.



TEKNOKRAT DAKWAH MEMIMPIN UMMAH



4. Islam merupakan agama yang syumul, meliputi segala aspek bahkan keindahan ajaran Islam telah mengangkat martabatnya sehingga menjadi cara hidup manusia. Namun kita perlu sedar bahawa survival dakwah Islam bukanlah hanya terletak di bahu para du’at yang bergelar ustaz dan ustazah semata-mata, bahkan tugas mulia menyebarkan intipati kalimah Islam ini sebenarnya menjadi tanggungjawab setiap Muslim, tidak kira sama ada yang berlatarbelakangkan pendidikan agama secara khusus mahupun tidak. Ini kerana peranan yang sebegini besar telah Allah s.w.t rakamkan di dalam Al-Quran dengan firmanNya :



104. Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.



5. Kandungan ayat ini sewajarnya kita jadikan bahan motivasi untuk memberikan kita kekuatan dalam menyebarkan agama Islam pilihan Allah ini. Tidak kira siapa jua kita, yang lebih utama ialah mesej untuk mengimarahkan muka bumi Allah ini dengan perintah serta syariatNya dapat disebarluaskan. Apatah lagi bagi kita yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi Islam di UTM ini, yang rata-ratanya mengambil jurusan teknikal sebagai core business kita dalam bidang pendidikan dan mungkin ianya berlarutan selepas ini menjadi medan kerjaya kita, sewajarnya kitalah yang menjadi ‘tangan-tangan penyelamat’ kepada mereka yang hampir hanyut dalam dunia yang yang bertuhankan materialistik pada hari ini.



6. Kompilasi di antara ilmu agama dan juga ilmu duniawi khususnya bidang teknikal dilihat mampu memudahkan lagi urusan dakwah untuk dijalankan. Memandangkan kerjaya yang melibatkan jurusan kejuruteraan rata-ratanya didominasi oleh kelompok bukan Islam dan juga sesetengahnya dari kalangan muslim yang kurang beramal dengan Islam, maka menjadi kewajipan kita untuk bersama mereka. Siapa lagi kalau bukan ‘Teknokrat Dakwah’ yang seharusnya merangka pembangunan material dan juga pembangunan insan mengikut acuan Al-Quran. Bertepatan dengan tema kita pada kali ini iaitu ‘Teknokrat Dakwah Memimpin Ummah’ saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita bermuhasabah menyemak kembali peranan yang telah Allah wartakan buat kita.



SENARIO HARI INI



Sidang hadirin sekalian,



i) Mahasiswa dan Alam Kampus



7. UTM merupakan pusat tadahan mutiara ilmu yang berharga. Namun, sinar cahaya ilmu yang Allah limpahkan di taman yang permai ini kadang-kadang dicemari oleh plot-plot drama maksiat yang melemaskan. Bermula dengan melihat fenomena di sekitar kampus yang kita sayangi ini, semakin hari semakin ramai mahasiswa yang berani melakukan perkara mungkar dan maksiat secara terang-terangan. Antaranya adalah seperti tuntutan menutup aurat yang semakin diabaikan terutamanya di kalangan mahasiswi serta gejala bonceng dan couple yang bertambah membarah. Perkara ini sedikit sebanyak mencalarkan imej Islam yang fitrahnya serba indah sehingga tidak lagi dipandang tinggi di kalangan penganut agama lain. Dewasa ini, kehidupan sebagai remaja dan belia khususnya golongan mahasiswa semakin mencabar dengan masalah kebejatan akhlak masyarakat yang semakin meruncing.



8. Isu kepincangan sosial serta kebobrokan akhlak ini sebenarnya telah sekian lama hangat diperdebatkan, bermula sekecil-kecil kelompok yang hanya melibatkan ibu dan bapa dalam sesuatu keluarga, hinggalah perhimpunan manusia yang lebih besar merentasi peringkat nasional malah antarabangsa. Namun sedarkah kita bahawa, kita merupakan salah satu elemen yang turut terlibat dalam membina piramid masalah global ini? Seandainya kita terus memandang ringan akan perkara-perkara ini, bagaimanakah agaknya nasib bangsa dan agama kita pada masa hadapan? Mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini merupakan golongan pemuda dan pemudi harapan agama, bangsa dan negara. Apakah kita menjadi pemimpin pada masa hadapan andai sekiranya pada hari ini kita masih lagi hanyut dan leka dengan godaan dan kemewahan duniawi yang sementara?



9. Mengimbau kembali sejarah Islam yang lalu, kita bakal bertemu dengan kisah-kisah yang menggambarkan para pemuda Islam merupakan suatu golongan yang sangat hebat. Dalam usia belasan tahun, mereka mampu menjadi seorang panglima perang yang hebat. . Lihatlah sahaja, bagaimana Usamah bin Zaid panglima kecintaan Nabi s.a.w telah diberi kepercayaan oleh Rasulullah untuk memimpin tentera yang bersamanya Saidina Abu Bakar Siddiq, Umar bin Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah bin Jarrah, dan lain-lain sahabat yang lebih berpengalaman dalam selok belok ketenteraan untuk menawan Rom walaupun umur beliau hanya sekitar 19 tahun Mereka juga mampu mengalahkan musuh-musuh Islam dan menyebarluaskan pengaruh Islam. Namun persoalannya, apakah sejarah yang begitu agung mampu untuk kita ulangi kembali? Kita seringkali berbangga dengan sejarah-sejarah yang dicipta oleh umat terdahulu, tetapi adakah cukup sekadar dengan perasaan bangga sahaja? Sebagai generasi baru Islam kita bukan sahaja perlu belajar dari sejarah lalu, tetapi kita seharusnya mengorak langkah, menyusun strategi dan bertindak dengan penuh keazaman untuk mengatasi sejarah-sejarah itu. Persoalannya, dimanakah kita harus bermula? Tepuk dada tanyalah iman.



10. Justeru saya menyeru dan mengajak sahabat-sahabat sekalian, marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita dengan mewujudkan kesepaduan antara ilmu yang kita pelajari dengan amalan seharian kita agar adunan ilmu ini dapat memberi kekuatan kepada kita untuk membentengi diri sendiri serta rakan-rakan kita yang lain daripada menyentuh perka-perkara yang membawa ke neraka. Marilah kita sama-sama memperkasakan amalan-amalan wajib seterusnya menjadikan amalan-amalan sunat sebagai suatu kelaziman dalam kehidupan kita.



ii) Mahasiswa dan Dunia Luar



11. Mahasiswa pada hari ini dilihat menjadi mangsa keadaan, terasing di bumi sendiri, dan terperangkap dalam dalam dunia kampus yang serba sempit ini. Kesibukan kita dalam menuntut ilmu serta melaksanakan tugasan harian selaku mahasiswa, kadang-kadang menjauhkan kita daripada berpijak di bumi yang nyata. Kita seharusnya sedar bahawa, keutamaan menuntut ilmu itu suatu yang pasti, namun pada masa yang sama mahu atau tidak sewajarnya mereka yang bergelar mahasiswa merencana inisiatif tersendiri dalam rangka untuk memastikan kita tidak terasing dari kehidupan realiti yang jauh lebih mencabar.



12. Mari kita sama-sama berfikir sejenak, di saat kita lemas dalam kesibukan akademik dan berpesatuan di kampus pada hari ini, isu semasa dunia luar tidak seharusnya kita ketepikan apatah lagi isu-isu yang berkisar tentang dunia Islam. Jika sebelum ini kita digegarkan dengan kempen serangan alaf baru puak kuffar dengan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq serta Iran yang ditekan hebat sehingga nyaris-nyaris diserang. Pada awal tahun 2009 kita dikejutkan lagi dengan serangan bertubi-tubi puak Israel ke atas Palestin. Hingga hari ini, beratus-ratus saudara seagama kita yang terkorban dan beribu-ribu lagi tercedera.



13. Ketegangan etnik berdarah di wilayah Xinjiang yang melibatkan lebih 170 etnik Uighur dan lebih 20 etnik Han Ogos lalu, yang majoriti penduduknya beragama Islam seharusnya menyentak hati dan perasaan kita selaku saudara semuslim yang ditindas di sana. Darah dan nyawa umat Islam hari ini dibayar dengan butiran peluru dan deraian air mata yang berlimpahan. Pergolakan demi pergolakan yang berlaku di selatan Thailand juga menyaksikan umat Islam menjadi watak utama dalam siri pembantaian nyawa secara habis-habisan. Peristiwa berdarah yang melibatkan pembunuhan Dr. Marwa El Shebbini di Russia di tangan seorang pengangur dan penyokong parti pro Nazi German, Alex W memberi tamparan hebat kepada muslimah Islam seluruh dunia sehingga tarikh pembunuhan berkenaan dijadikan Hari Jilbab Sedunia. Dan yang terkini, awal bulan Oktober yang lalu, tragedi menyayat hati serta meledakkan rasa marah dikalangan umat Islam yang tidak terhingga apabila melihat kerakusan junta tentera Guinea memperkosa sebilangan 30 orang muslimah secara terbuka di khalayak ramai dalam satu siri demonstrasi yang diadakan di stadium Conakry.



14. Persoalannya adalah mengapakah hal sebegini berlaku? Adakah ia merupakan suatu tanda kejayaan perancangan yang licik daripada musuh-musuh Islam? Atau adakah hal ini terjadi kerana umat Islam kini semakin lemah dan jauh daripada ajaran Islam yang sebenar? Atau apakah ini semua ujian serta bala dari Allah lantaran umatnya pada hari ini mengmbil ringan amanah serta tanggungjawab sebagai khalifah dalam memakmurkan muka bumi Allah ini. Suka untuk saya tinggalkan persoalan ini sebagai bahan muhasabah kita bersama, dalam menilai kualiti Islam dan Iman pada diri kita selaku seorang Muslim.



15. Semakan demi semakan perlu kita lakukan ke atas diri kita. Sebagai seorang Muslim, apakah reaksi dan tindakan kita dalam berdepan dengan situasi sebegini? Diperingkat kampus, di manakah pemimipin-pemimpin mahasiswa yang sepatutnya mengepalai kita dalam berhadapan dengan perkara ini? Adakah sememangnya kita tidak dapat melakukan apa-apa tindakan pun untuk membantu saudara-saudara kita di sana? Ya, memang benar, kita tidak mampu melakukan apa-apa seandai kita berfikir hanya dengan mengangkat senjata sahajalah kita mampu membantu mereka. Pernahkah kita terfikir bahawa doa itu senjata utama orang mukmin? Dan apakah kita sering kali melaksanakannya.?



16. Dalam keterbatasan ruang dan masa ini , saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, dimanakah kita ketika Islam ditekan diluar sana? Apakah peranan kita dalam membantu meningkatkan semula martabat Islam diluar sana? Semoga kita sama-sama beroleh keampunan daripada-Nya atas segala kekurangan dan kesilapan yang telah kita lakukan.



3.0 SUKA DUKA BERSAMA MEMBANGUN UMMAH



Ikhwah-akhawat sekalian,

17. Dikesempatan ini, suka untuk saya menyingkap kembali sedikit sebanyak peristiwa di sekitar persatuan ini setelah setahun memegang tampuk kepimpinan dalam usaha untuk menerapkan dan meningkatkan kefahaman Islam dikalangan warga kampus. PMIUTM sebagai persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa Islam di kampus ini sentiasa berusaha mengajak seluruh ahlinya dan warga kampus untuk terus istiqamah mengamalkan Islam sebagai cara hidup, bukan sekadar atas dasar agama anutan.



18. Pelbagai bentuk pendekatan digunakan dalam usaha kita mendekati golongan mad’u. Program- program yang dilaksanakan terdiri daripada ceramah-ceramah, seminar, riadah, kem motivasi, bakti siswa dan sebagainya. Di samping itu, PMIUTM juga tidak sekali-kali menolak jemputan demi jemputan daripada persatuan agama lain untuk menghadiri program mereka dalam rangka untuk kita mendekati mereka sebagai mad’u serta meyakinkan kepada mereka bahawa Islam sesuai untuk semua. Walau bagaimanapun, satu persoalan timbul difikiran saya, sejauh manakah program-program yang kita jalankan ini mampu mencapai matlamatnya dan menjadi saluran dakwah yang berkesan kepada mad’u kita?



19. Adakah agenda dakwah kita sudah cukup dengan hanya menganjurkan program-program sebegini sahaja? Ini bukan bererti PMIUTM harus mengenepikan akan peri pentingnya menganjurkan program-program yang berbentuk keagamaan ini. Namun apa yang perlu pimpinan serta ahli PMIUTM lakukan pada masa hadapan adalah mencari alternatif-alternatif yang baru supaya sama-sama kita perkasakan agenda dakwah di peringkat kampus.



20. Sekali lagi ditegaskan bahawa tugas untuk melaksanakan dakwah ini bukanlah tanggungjawab mutlak PMIUTM sahaja, malah ia merupakan tugas semua umat Islam seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:



110. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.



21. Tidak kira sama ada muslimin atau muslimat, kita semua memikul tanggungjawab sebagai penyebar dakwah. Dakwah perlu diperluaskan lagi, jangan sekadar berlegar-legar di kalangan kita sahaja. Apa yang lebih penting adalah kelompok sasaran dakwah kita ini perlu benar-benar kita pastikan ianya sampai kepada mereka yang memerlukannya. Kerana percaya atau tidak ramai lagi di kalangan mahasiswa dan mahasiswi Islam di UTM ini saban hari tidak pernah menunaikan solat lantaran ada sesetengahnya yang tidak pernah menerima mesej nasihat dan sentuhan dakwah akibat kelemahan kita mengenal pasti mad’u yang bermasalah.



22. Cabaran buat mereka yang bergelar muslimat sememangnya besar. Lebih-lebih lagi yang membawa nama srikandi dakwah. Baik di kampus mahupun dalam dunia sebenar apabila berhadapan dengan masyarakat umum. Muslimat yang dianggap sayap kiri dalam menyebarkan dakwah ini, perlulah bijak mencari peluang serta manfaatkan saluran yang sedia ada. Biarpun wanita ini sering kali dikatakan lemah dari sudut fitrah semulajadinya, tetapi obor semangatnya sentiasa menyala-nyala. Muslimat sewajarnya perlu sentiasa bersiap sedia untuk berhadapan dengan golongan-golongan feminisme yang meletakkan hak asasi wanita jauh lebih tinggi berbanding hukum yang telah Allah gariskan di dalam Al-Quran, sama ada secara bersemuka mahupun menjawab kenyataan-kenyataan yang sedia ada di alam maya (baca: internet).



23. Justeru, jelaslah bahawa sumbangan tenaga anak-anak muda seperti kita amat diperlukan. Teknokrat Dakwah hari inilah yang sebenarnya bakal mewarnai dunia dengan sinaran Islam masa depan. Lebih lebih lagi kehidupan kita pada hari ini tidak dapat lari daripada teknologi yang sentiasa berubah dari masa ke masa. Cuma apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah, selaku mahasiswa, kita akan berkhidmat dengan kondisi kita sebagai seorang pelajar. Saya menyeru sahabat-sahabat sekalian untuk kita bersama-sama mengorbankan tenaga, masa dan harta yang ada untuk sama-sama kita martabatkan kembali kegemilangan Islam, selari dengan tema Mesyuarat Agung pada kali ini iaitu ‘Teknokrat Dakwah Memimpin Ummah’.



5.0 PENUTUP

24. Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu-tetamu kehormat, para pemerhati-pemerhati dan yang lebih utama para perwakilan yang dikasihi sekalian yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan PMIUTM kali ke-7 ini.

25. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan “Jazakumullahu Khairan Kathira ” khususnya kepada Majlis Eksekutif PMIUTM sesi 2009 bersama saf kepimpinan Majlis Tertinggi PMIUTM, Duta-Duta PMIUTM di setiap kolej, Panitia Mesyuarat Agung Tahunan PMIUTM kali ke-7, naqib dan naqibah PMIUTM serta semua ahli PMIUTM yang begitu komited dan kuat dalam mempertahankan survival dakwah PMIUTM di bumi UTM ini.



26. Hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalas pengorbanan sahabat-sahabat dan saya doakan agar ia tercatat sebagai pelaburan saham akhirat dengan Allah dalam perniagaan yang tentunya tidak akan rugi. Marilah sama-sama kita mengikhlaskan seluruh niat kita hanyasanya untuk mencari keredhaan Allah SWT, tanpa menghitung puji-pujaan manusia sebagai dorongan kita untuk beramal dalam rangka usaha kita memperjuangkan kalimah agung ‘Laailahaillallah Muhammadarrasulullah’. Semoga kita semua akan terus istiqamah dan beriltizam bersama PMIUTM dalam memperjuangkan Islam di bumi UTM ini.



27. Semoga Allah SWT melingkungi kita dengan RahmatNya dan mencurahkan TaufiqNya dalam membimbing kita mencari segala yang terbaik dari pemahaman, pengetahuan dan perancangan dalam suasana kita bermesyuarat di dewan yang bertuah ini. Amin Ya Rabbal ‘Aalamin.



Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

MOHD AMIN BIN MOHD HAMAMI

PRESIDEN

PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UTM 2009



TEKNOKRAT DAKWAH MEMIMPIN UMMAH
%d bloggers like this: