Pada malam tahun baru yang lalu, saya dan beberapa orang sahabat telah melalui detik-detik yang getir di salah sebuah tempat terkemuka di Johor Bahru yang menjadi tempat tumpuan muda-mudi yang kebanyakannya seakidah dengan kami terutama di malam tahun baru dan malam 31 Ogos. Ia merupakan sebuah tempat pelancongan yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan tempat pelaburan ‘wang dunia’ yang menguntungkan.

Keimanan kami teruji apabila menempuhi saat-saat keseronokan dan kegilaan muda-mudi yang seolah-olah sudah tercabut iman dan akidah mereka lantaran dikuasai nafsu syaitan yang ‘menyeramkan’. Adakah mereka tidak sedar bahawa bila-bila masa sahaja Yang Maha Berkuasa boleh mengarahkan tenteraNya yang terdiri daripada air laut yang boleh bereformasi menjadi sebuah ombak yang hitam dan ganas dan dengan serta-merta mengaut dan membinasakan mereka seperti yang telah berlaku di Acheh?

Pelukan, ciuman, tarian, hiburan dan khayalan menyebabkan mereka lupa kepada rentetan sejarah bagaimana kaum Nabi Lut yang melanggar perintah Rasul mereka dan terus menerus melakukan perbuatan terkutuk lantas dibinasakan oleh Allah s.w.t dengan diterbalikkan bumi dan dihujani dengan hujan batu yang begitu dahsyat, sehingga tiada seorang pun kafir yang tertinggal di antara mereka seperti mana yang Allah rakamkan dalam Al-Quran.

Ketika saya dan sahabat-sahabat giat melakukan amar makruf nahi mungkar, terdetik di lubuk sanubari kami tentang kedahsyatan seksaan penduduk Palestin yang dilakukan oleh rejim Zionis. Terlintas di benak fikiran saya adakah muda-mudi hari ini lupa kepada apa yang sedang berlaku kepada saudara seagama mereka yang sedang dipijak, ditembak, disembelih, dirogol, dipukul, dibunuh dan disiksa? Sedang mereka mabuk dengan kenikmatan dunia yang sementara. Mereka ditipu oleh Yahudi dengan meratah segala macam jenis hiburan yang melampau yang disediakan oleh Yahudi dan dalang-dalangnya.

Rakyat Palestin yang kini mencecah ratusan ribu kematian bermula dari tahun 1948 dan begitu ramai lagi yang cedera akibat kekejaman rejim Israel. Kalau kita mempunyai wang satu juta ringgit dan wang itu dicuri, pasti kita akan menangis sekuat-kuatnya, makan tak lalu, tidur tak lena dan perkara-perkara yang seumpamanya. Malah kita akan melaporkan kepada pihak polis untuk mencari siapakah pencurinya. Dan apabila si pencuri ditemui, pasti dan pasti kita tidak sekali-kali akan melepaskannya, malah mungkin juga terdetik di hati kita untuk memukul, menampar, menyepak, dan pelbagai lagi asalkan si pencuri itu merasa azab akan perbuatannya. Cuba fikir sebab apa kita melakukan yang sedemikian?. Hal ini demikian kerana kita merasa wang itu hak kita malah ada yang menganggapnya sebagai darah daging sendiri.

Sabda Nabi S.A.W :

“Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia ia mengasihi dirinya sendiri.”

Siapakah penduduk Palestin itu? Apakah hubungan mereka dengan kita? Sahabat-sahabat! Mereka memerlukan simpati dan kasih sayang daripada kita kerana kita dan mereka adalah saudara yang bernaung di bawah satu akidah tauhid. Darah mereka adalah darah kita, nyawa mereka adalah nyawa kita, kehidupan mereka adalah kehidupan kita. Apabila orang Islam yang lain tidak ambil kisah malah tiada langsung rasa sensitif dalam sanubari mereka, itu bermakna telah tercabut iman dari diri mereka. Mungkin kita terlalu sibuk dengan tugas di pejabat, kuliah, aktiviti persatuan, games, malah ada yang sibuk berpacaran sehingga langsung tidak ambil peduli tentang nasib umat Islam Palestin. Segala apa yang terjadi dipandang enteng.

Sejauh mana tindakan kita? Adakah apabila ada solat hajat barulah masa itu sahaja kita akan berdoa? Tetapi apabila setiap kali bersolat, mengapa jarang sekali yang berdoa untuk umat Islam di Palestin? Apabila ada kempen boikot, kita bersemangat untuk boikot barang-barang Yahudi pada masa itu, tetapi apabila kita berada di bandar kita masih lagi pergi ke McDonald, KFC dan sebagainya serta kita masih lagi membeli barang-barang Yahudi apabila berada di pasaraya. Sedangkan rejim Zionis setiap saat dan detik tidak henti-henti menzalimi dan membunuh rakyat Palestin. Sahabat-sahabat! Masih banyak lagi barang-barang alternatif yang bukan buatan Yahudi di pasaran. Dunia sekarang adalah dunia teknologi, terpulanglah kepada para sahabat untuk mencarinya.

Tidak terlambat untuk kita melakukan perubahan walaupun kita berada di akhir bulan Muharram 1430H kerana masa itu tetap berjalan walaupun kita tidak mengejarnya. Ayuh sahabat-sahabat! Jangan kita bersengkongkol dengan Yahudi dan sekutunya dengan mengambil segala bentuk budaya dan material mereka sebaliknya kita perlu memperjuangkan Islam sehinggalah Islam akan tertegak semula di atas muka bumi ini. Teruskanlah doamu setiap kali bersolat.

“Allahumman suril islama wal muslimina wal mujahidina fii Falasthin. Amin”

Allahuakbar!!

SURAT dari PENCINTA PALESTIN…
%d bloggers like this: