Setiap mata yang tertutup belum bererti ia tidur, setiap mata yang terbuka belum bererti ia melihat.

=======================
Manusia mempunyai sepasang mata untuk melihat, tetapi tidak mampu menggunakannya ke arah pengabdian Allah S.W.T . Manusia mempunyai sepasang mata yang mampu melihat dunia dan kebesaranNya tetapi digunakannya untuk melayan nafsu syawat yang tidak pernah berkesudahan. Lalu apakah yang membuatkan manusia itu melihat dengan kesedaran bahawa Allah itu Maha Melihat apa yang dilihat mereka?. Iaitu hati yang bersih, mengingati Tuhan.

Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan fitnah. Manusia melakukan dosa bagaikan malu sudah tiada dalam diri, apatah lagi masyarakat yang menganggap dosa itu sebagai satu normaliti yang boleh dipandang enteng lalu mengatakan bahawa sesuatu tindakan yang melanggar hukum syarak yang digariskan Islam sebagai satu tindakan yang cool dan berani. “Alah, macam tak biasa pula”,
“biasalah, itu kan trend” dan sebagainya. Bagaikan hati-hati yang sensitif akan agama sudah lupus dek kemodenan. Malah, amat mengejutkan apabila orang-orang tentang agama menegur sesuatu kesalahan dianggap cetek dan tidak fleksibel oleh golongan yang merasakan bahawa mereka lebih tahu. Betul, Islam itu fleksibel tetapi juga menyeluruh. Islam itu cara kehidupan, lantas membuang secebis hukum yang kita tidak suka bukanlah satu pilihan. Namun, siapakah kita melainkan manusia hina yang tidak tahu apa-apa jikalau nak dibandingkan Allah Yang Maha Mengetahui apa yang disembunyikan dan yang tidak disembunyikan. Oleh kerana itu, sepasang mata itu bukanlah milik kita tetapi amanat Dia kepada kita bergelar khalifah. Mata yang melihat dunia bukan sekadar luarannya, mata yang melihat ayat-ayat Quran bukan sekadar penulisannya tentang sejarah atau hukum, malah menganggap ayat-ayatNya sebagai sumber kekuatan kepada hati-hati para insan yang mudah lemah.

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
Surah Az-zumar : 23

Kalau gunung dapat merasakan takut kepada Allah S.W.T bahkan hampir sahaja pecah, apalagi semestinya manusia yang memiliki hati dan perasaan. Getaran hati ini akan lebih sempurna kalau disertai dengan air mata. Setitis air mata yang mengalir sangat tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T. Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah bersabda;
“Dua mata takkan disentuh neraka selamanya. Mata yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T dan mata yang berjihad di jalan Allah S.W.T” . ( Hadiths riwayat Nasa’i ).

#PMIBERSAMAMU

SEPASANG MATA ?
%d bloggers like this: