Program SAYANG adalah satu program khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh PMIUTM untuk melebarkan jaringan ukhuwah dan kenalan antara masyarakat setempat dan mahasiswa. Suatu kata-kata yang menarik yang boleh dihayati oleh semua mahasiswa iaitu “mahasiswa adalah pinjaman dari masyarakat kepada Universiti, untuk dipulangkan kembali dan berkhidmat kepada mereka semula”. Program SAYANG bermula pada hari Khamis 17 Mei 2012 sehingga hari Ahad 20 Mei 2012 di Kampung Tanah Runtuh, Kluang iaitu sebuah perkampungan orang asli Johor.

Terdapat satu pesanan Imam Syahid Hassan Al-Banna yang boleh diambil renungan bersama,
 “Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asas gerakan da’wah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan”


HARI PERTAMA (17/5/2012 – SABTU)

Pada hari ini telah diadakan perasmian pembukaaan program SAYANG ’12. Selain itu peserta telah mengadakan Ziarah dan ramah mesra dari rumah ke rumah masarakat di sana. Para peserta mendapati masyarakat di sana amat ramah dan mesra dalam menyambut tetamu.
5.30 petang – pembukaan program SAYANG ’12 disampaikan oleh
Tok Batin, wakil penduduk dan Pengarah program

HARI KEDUA(18/5/2012 – SABTU)

Aktiviti pagi ini bermula dengan riadah pagi bersama penduduk kampung orang asli. Antara permainan santai bersama kanak-kanak orang asli ialah teka bentuk, goreng pisang dan teka pantas. Selain itu peserta telah menyumbang bakat mereka yang tersendiri dengan melukis lukisan mural di tadika KEMAS.

Pertandingan mewarna oleh kanak-kanak orang asli turut diadakan. Manakala sukan rakyat bersama-sama penduduk kampung diadakan dengan penduduk di sana. Di antara acara yang dipertandingkan ialah lambung belon, motor semput, sepak takraw antara pelajar UTM dengan penduduk kampung orang asli, dan juga cari gula-gula dalam tepung.

Pada aktiviti di sebelah malam, wayang layar “Upin & Ipin” ditontonkan kepada penduduk kampung dan slot motivasi diteruskan bersama saudara Rozi Destiny.

HARI KETIGA (19/5/2012 – SABTU)

Aktiviti kali ini dimulakan seperti semalam iaitu dengan riadah pagi bersama penduduk kampung orang asli. Pepatah Arab ada mengatakan “Akal yang sihat dari tubuh badan yang sihat”. Seterusnya acara ‘musical chair’ oleh kanak-kanak orang asli dan rewang sekampung. Di kesempatan ini juga para peserta juga menyumbang sedikit ilmu mereka dalam aktiviti “Mari Mengaji IQRA'”. Setelah itu para peserta mula mengedar cenderahati dari rumah ke rumah kepada penduduk kampung di sana.

Di sebelah malam telah diadakan malam kebudayaan dan terdapat pesembahan khas jemputan dari Penduduk Pendau Mersing Johor dan persembahan nasyid dari UTM. Pada malam itu juga disertai dengan BBQ.

HARI KEEMPAT (20/5/2012 – AHAD)

Pada hari terkahir para peserta mengadakan program gotong-royong rakyat bersama penduduk kampung orang asli. Setelah selesai gotong-royong, Majlis Penutupan program SAYANG ’12  diadakan dan diakhiri dengan jamuan tengahari serta lambaian kasih. Semoga ukhuwah yang terjalin dapat terus kekal selama-lamanya. InsyaAllah.

Laporan disediakan oleh : Nurul Syafiqah bt Abd Hadi, AJK Multimedia dan Penerbitan SAYANG’12.
Sila lawati “page Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia” untuk melihat gambar-gambar program SAYANG yang lengkap.

SAYANG 2012 – Khidmat masyarakat bersama orang asli Johor
%d bloggers like this: