Tanah melayu pada suatu masa dahulu menjadi satu kawasan yang makmur dan dipenuhi dengan kemewahan, kekayaan dan juga kemajuan. Melaka pada masa itu menjadi satu pusat pelabuhan yang mendapat sambutan dari seluruh pelosok dunia. 

Kedudukan Melaka yang strategik menjadikan pelabuhan ini terkenal. Melaka terletak di tengah-tengah jalan perdagangan dunia. Melaka menyediakan pentadbiran pelabuhan yang licin dan teratur supaya semua aktiviti perdagangan berjalan lancar. 


Jawatan Laksama diwujudkan bagi menjaga urusan laut bersama-sama dengan jawatan Syahbandar untuk mengetuai urusan pelabuhan. Melaka juga menggubal Undang-undang Laut Melaka yang menghuraikan tugas-tugas nakhoda, jurumudi dan sebagainya. 


Kegemilangan Melaka juga berkait dengan wujudnya 84 bahasa yang dituturkan di sini. Sistem sukat yang moden seperti tahil dan kati telah memajukan aktiviti ekonominya.

KEJATUHAN DAN PENAKLUKAN
Namun pada Pada tahun 1511, satu armada Portugis menyerang Melaka setelah beberapa siri rundingan awal gagal. Asal sebab Portugis menyerang Melaka kerana penawanan orang-orang Portugis dan kepentingan Melaka kepada mereka setelah Goa, India. Serangan pertama Portugis gagal, tetapi berjaya menawan Melaka pada serangan ke-2. Sultan Mahmud Shah telah lari ke Pahang dan kemudiannya menetap di Pagoh. 


Sejak dari 1511 Melaka dan juga Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia terus berada di bawah jajahan kuasa imperialisme pada masa itu. Bermula dengan Portugis kemudiannya Belanda seterusnya Inggeris setelah itu Jepun dan kembali pada Inggeris. 


Akhirnya pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka iaitu 31 Ogos 1957.


PERJUANGAN KEMERDEKAAN

Sudah semestinya perjuangan untuk kembali merebut dan mendapat kemerdekaan merupakan satu perjuangan yang panjang dan memerlukan banyak pengorbanan. Menyoroti sejarah perjuangan kemerdekaan yang bermula secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya. 


Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College. 


Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, terny
ata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

PENGISIAN KEMERDEKAAN

Jadi perlunya kepada satu pengisian kemerdekaan yang betul-betul difahami secara falsafahnya dan juga pelaksanaannya. Saya tertarik dengan falsafah merdeka yang dipolupori oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Yang mana beliau menyatakan dalam sajaknya yang masyur yang mana diucapkannya dalam satu kongres PKMM ke-2 bertempat di Melaka pada bulan Disember 1946.


”Di Atas runtuhan kota melaka 

kita dirikan jiwa merdeka 

persatu padulah wahai seluruh baka 

membela hak keadilan pusaka”

Kemerdekaan yang kita sambut pada 31 Ogos 12 saban tahun tidak akan membawa erti jika kita gagal menterjemahkannya dalam maksud yang sebenar kemerdekaan itu. Sebagaimana apa yag dikatakan oleh Dr.Burhanuddin Al-Helmi, merdeka itu bukanlah bermaksud negara yang diperintah oleh bangsa sendiri, bukan juga bermaksud kita tidak perlu mengikut telunjuk sesiapa tetapi kemerdekaan itu letaknya pada jiwa kita. 

Kemerdekaan itu juga dibina atas keruntuhan Kota Melaka, banyak sejarahwan percaya bahawasanya kejatuhan Melaka itu bukanlah kerana kekuatan pihak penjajah tetapi kerana kelemahan pemerintahan pada masa itu. 

Membina kemerdekaan di atas runtuhan Kota Melaka adalah dengan membina satu ketamaduanan baru dalam membina negara bangsa. Yang pastinya pembinaan negara yang merdeka hendaklah jauh dari sikap dan sifat korupsi, kezaliman, kronisme, dan lain-lain lagi yang menjadi keruntuhan Kota Melaka.

Negara dan rakyat yang merdeka jiwanya!

JIWA MERDEKA

Jiwa yang merdeka sebenarnya adalah jiwa yang memahami tugasnya sebagai khalifah dan hamba Allah. Contoh jiwa merdeka adalah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh seorang panglima perang Islam yang secara lantangnya menjawab pertanyaan pihak musuh pada masa itu.


Beliau adalah Ruba’i bin Amir yang mana kata-kata beliau adalah;

“Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada Tuhan yang Esa dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam”.


Jiwa yang merdeka hanya tunduk dan patuh pada Allah s.wt sebagai sau kuasa yang paling tinggi. Juga tidak terikat dengan dunia yang hanya sementara. 


Manusia yang merdeka jiwanya tidak akan terjebak dengan segala barah sosial yang ada dalam masyarakat pada hari ini, juga dapat menyelamatkan negara dari segala korupsi dan penyelewengan yang merugikan dan merosakkan negara.

Kesimpulan.

Kegagalan dalam memahami konsep kemerdekaan yang sebenar dan kurangnya penghayatan kepada kemerdekaan merupakan satu sikap yang akan mensia-siakan perjuangan menuntut kemerdekaan dan juga akan merugikan negara.

Tidak mustahil jika tidak tidak sedar dan mengisi kemerdekaan ini dengan sebaiknya kita sendiri akan terjerumus menjadi satu golongan yang sentiasa terjajah. Yang akhirnya menjadi golongan yang lemah dan tiada harga.





Disediakan Oleh,

Muhammad Ibrahim Khalil bin Noh
Sahabat Persatuan Mahasiswa Islam 
Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor


Bibliografi



.::PMI BERSAMAMU::.

Rencana Merdeka: MENGISI KEMERDEKAAN
%d bloggers like this: