11 April 2016 || 4 Rejab 1437 H

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

PMIUTM || Usaha mencintai Ilmu

Apakah ilmu yang bermanfaat itu?

Menurut ulama, ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang :

– Dapat membawa kepada kenal dan beriman kepadaNya
– Dapat menyuluh kelemahan diri
– Dapat menambah cinta kepada hari akhirat
– Dapat menambah amal ibadah
– Dapat menjauhkan diri daripada kejahatan dan kemungkaran.

Ilmu yang tidak membawa kepada perkara-perkara di atas ialah ilmu yang membawa mudarat,bukan manfaat. Sekiranya ilmu yang dicari menimbulkan rasa takbur, tidak kenal Allah dan melupakan akhirat, maka ilmu itu menjadi penghalang buat pemiliknya daripada mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.
Cahaya ilmu tidak memberi suluhan, sebaliknya telah menyilau mata hatinya.

Benar seperti yang diungkapkan oleh hukama, ilmu itu cahaya,jahil itu berbahaya. Buta mata, apabila tidak ada cahaya jatuh ke retina mata. Tetapi buta hati apabila tidak ada ilmu jatuh ke hati kita. Buta mata kita hanya tidak nampak jalan di dunia, tetapi buta hati kita tidak nampak jalan menuju akhirat. Sedangkan hakikatnya manusia adalah warga akhirat,bukan warga dunia.

Di dunia, Allah SWT telah menyediakan dua misi besar yang wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, iaitu menjadi hamba yang taat dan khalifah yang berperanan.

Sebagai seorang mahasiswa, kita harus tahu yang ilmu seperti harta; ia adalah amanah untuk dibahagi-bahagikan kepada orang yang memerlukan. Ilmu bukan milik mutlak kita tetapi ia adalah anugerah dan pinjaman dari Allah. Sebab itulah adakalanya ilmu kita ditarik balik. Bagaimana?
Sesuatu yang telah dipelajari tiba-tiba luput daripada ingatan kita. Sesuatu yang telah dipelajari tiba-tiba tidak mampu dilampirkan di atas kertas jawapan peperiksaan.

Sebagai khalifah, ilmu inilah bekal untuk kita berperanan melalui khidmat kita. Khalifah sentiasa sedia berkhidmat dengan khidmat yang membawa manfaat kepada ummah.

Bumi UTM sanjungan bangsa ini adalah medium untuk mempersiapkan kita ke arah menjadi khalifah yang berperanan membangun ummah. Kitalah yang perlu mencerna serta menggunakan segala ilmu yang diperoleh, tidak kira dalam apa bidang sekalipun, dalam membina diri, masyarakat serta negara yang lebih baik.

“Meneraju Kesatuan Ummah”

#PMIBERSAMAMU

12994544_10153686686453315_8619734060162344593_n

PMIUTM || Usaha mencintai Ilmu
%d bloggers like this: