PMIUTM : RUKUN TETANGGA MAHASISWA UTM (RTM UTM)
Disediakan Oleh :

ANIS NAJIHAH ABU SAMAH
Setiausaha Agung,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Teknologi Malaysia.

PENDAHULUAN
Rukun Tetangga Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (RTM UTM) diusul untuk ditubuhkan atas dasar dan matlamat mengurangkan kadar masalah sosial yang berlaku dalam kampus dewasa ini khususnya dalam kalangan mahasiswi. Ia merupakan cambahan idea dan pendapat dari pelbagai pihak, khususnya mahasiswa/i UTM sendiri yang rata-rata daripada mereka menghadirkan kerisauan terhadap gejala sosial yang berlaku dalam kampus ini, sebagai contoh seperti mahasiswa pecah masuk blok mahasiswi, pencabulan, bonceng kecurian harta benda dan sebagainya. Selain itu, RTM UTM juga ditubuhkan untuk mewujudkan suatu konsep perpaduan dalam masyarakat kampus, merapatkan hubungan antara kaum, interaksi sosial dan sebagainya. Perkara ini merupakan salah satu daripada gagasan dan saranan universiti sendiri dalam mewujudkan perpaduan antara kaum di universiti.
      Justeru itu, Ahli Persatuan Mahasiswa Islam UTM dengan kerjasama Pusat Islam UTM (PIUTM), Bahagian Keselamatan UTM Johor, Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM (MPMUTM), perwakilan kelab-kelab kerohanian dan mahasiswa yang dilantik akan berusaha untuk menubuhkan Rukun Tetangga Mahasiswa UTM atas dasar dan matlamat seperti tersebut. Ini juga berorientasikan penyerlahan bakat kepimpinan dan nilai integriti mahasiswa itu sendiri, yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.
          Menurut statistik dan dapatan kajian daripada Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UTM (HEMA) pada tahun 2012, pihak ini telah menjalankan kajian mengenai tahap masalah sosial secara keseluruhan daripada hampir 377 responden yang terdiri daripada mahasiswa/i UTM pengajian sarjana muda

Taburan Tahap Masalah Sosial Secara Keseluruhan
Tahap
Kekerapan
Peratus (%)
Tinggi
196
52.0
Sederhana
178
47.2
Rendah
3
0.8
jumlah
377
100
          Secara keseluruhan kajian ini mendapati, seramai 196 orang responden atau 52.0% mengatakan bahawa masalah sosial di UTM ini adalah tinggi, manakala 178 orang atau 47.2% mengatakan sederhana dan hanya 3 orang atau 0.8% mengatakan masalah sosial di UTM berada di tahap yang rendah. Data yang didapati ini jelas menunjukkan bahawa tahap masalah sosial di UTM berada ditahap yang membimbangkan.
             Selain daripada masalah sosial, pihak Unit Keselamatan juga kerap mendapat aduan daripada mahasiswi khususnya, mengenai masalah gangguan pekerja asing yang memasuki blok-blok kediaman siswi dan juga permasalahan sosial yang lain seperti mahasiswa yang menceroboh masuk blok kediaman mahasiswi dan sebagainya.

         Adalah menjadi suatu kewajipan dan tanggungjawab daripada pihak Persatuan Mahasiswa Islam UTM untuk mengusulkan kertas kerja cadangan ini untuk menubuhkan Rukun Tetangga Mahasiswa UTM, sebagai langkah awal untuk mengurangkan sekaligus menghapuskan permasalahan sosial dalam masyarakat kampus.

MATLAMAT
Mengurangkan masalah sosial dan menjaga kebajikan mahasiswi khususnya di UTM.

OBJEKTIF
1.   Menjaga keselamatan dan kebajikan mahasiswi di kampus
2.   Memberi kefahaman mengenai cara pergaulan yang betul kepada mahasiswa
3.   Mewujudkan konsep perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
4.   Penguatkuasaan kod etika pemakaian/ pergaulan sosial.

TEMA
 “Mahasiswa Selamat, UTM Diperhebat”

SASARAN
Warga UTM di setiap kolej terutamanya di kolej-kolej siswi dan fakulti serta kawasan terpilih.

PENUTUP
         Diharapkan kertas kerja cadangan ini, untuk menubuhkan Rukun Tetangga Mahasiswa UTM ini mendapat sokongan dan persetujuan daripada semua pihak, terutamanya pihak pentadbiran Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni dalam usaha untuk membina sebuah suasana persekitaran kampus yang aman dan bersih dari segala permasalahan sosial serta dapat mewujudkan suatu persekitaran yang membudayakan ilmu seperti yang digagaskan oleh Naib Canselor UTM. Diharapkan juga dengan tertubuhkan organisasi ini, sedikit sebanyak dapat mewujudkan pemimpin yang berwibawa dan unggul dalam kalangan warga kampus.
Sekian, terima kasih.

PMIUTM || RUKUN TETANGGA MAHASISWA UTM (RTM UTM)
%d bloggers like this: