13 SEPTEMBER 2016 | 11 ZULHIJJAH 1437
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
PMIUTM || ADAB KETIKA BERCAKAP

Setiap insan mestilah mengetahui dan mengamalkan percakapan yang baik dan tidak keterlaluan dalam menyampaikan sesuatu perkara. Terdapat 10 amalan yang digalakkan untuk diterap dalam percakapan antaranya :-

1) PERKARA YANG DIUCAPKAN MESTILAH PERKATAAN YANG BAIK DAN BERFAEDAH
Daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

2) MENGUCAPKAN KATA YANG MUDAH DIFAHAMI
Aisyah berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW itu selalu jelas sehingga difahami oleh semua yang mendengarnya
(HR Abu Daud)

3) RENDAH DIRI DAN MENJAUHI SIKAP BERDOLAK DALIH
Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap dan bersifat sombong dalam bercakap
(Hadis riwayat Tarmizi- hadis Hassan)

4) BERCAKAP BENAR DAN TIDAK BERDUSTA
Rasulullah SAW bersabda,
Tanda-tanda munafik itu ada 3, jika ia bicara berdusta, jika ia berjanji mengingkari dan jika ia diberi amanah ia khianat.
(HR Bukhari)

5)MENGULANGI KATA-KATA YANG PENTING, JIKA PERLU
Anas berkata apabila Rasulullah SAW bercakap, maka baginda akan mengulanginya sampai 3 kali sehingga semua yang mendengar menjadi faham dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang, maka baginda akan mengucapkan salam 3 kali
(HR Bukhari)

6) MENJAUHI KATA-KATA KEJI, MENCELA DAN MELAKNAT
Sabda Rasulullah SAW: Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.
(HR Tirmidzi dengan sanad sahih)

7) MENGHINDARI BANYAK MEMBUAT LAWAK
Sesungguhnya seburuk-buruk orang di sisi Allah SWT di hari Kiamat kelak ialah orang yang suka membuat manusia tertawa.
(HR Bukhari)

8) MENGHINDARI GHIBAH (MENGUMPAT) DAN MENGADU DOMBA
Sabda Rasulullah SAW: Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.
(HR Muttaafaqalaih)

9) JANGAN MENGHINA ATAU MENGAIBKAN ORANG LAIN
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Al-Hujuraat: ayat 12)
Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya maka Allah akan menutup aibnya di akhirat
(Riwayat Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani).

10) MENGUCAPKAN IN SHA ALLAH ATAS PERKARA YANG BELUM PASTI
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi, kecuali (dengan menyebut): “In sha Allah”. Dan ingatlah kepada Tuhan-Mu jika kamu lupa dan katakanlah “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.”
(Al-Kahfi,18: 23- 24)

Semoga menjadi insan yang baik dalam pertuturan seharian.

Meneraju Kesatuan Ummah

#PMIBERSAMAMU
#ADABBERCAKAP

14358984_10154046316613315_8381762255552296925_n

PMIUTM || ADAB KETIKA BERCAKAP
%d bloggers like this: