.:PERUTUSAN RASMI SEMPENA SYAWAL 1434H:.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat.
Madrasah Ramadhan akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Syawal pula akan menjelma tanda kemenangan umat Islam setelah sebulan bermujahadah melawan hawa nafsu. Di kesempatan ini kami serta barisan kepimpinan mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia ingin mengucapkan Salam Aidilfitri 1434H, minal aidin wal faidzin, kepada seluruh mahasiswa UTM dan juga umat Islam di seluruh dunia. Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua. Mohon maaf zahir dan batin, dan semoga ALLAH menjadikan kami dan kamu termasuk dari orang-orang yang kembali (dari perjuangan Ramadhan) sebagai orang yang menang, semoga kita semua berada dalam kebaikkan sepanjang tahun. Dengan ini, terdapat beberapa perkara yang ingin disentuh iaitu:

1. Kembali kepada fitrah serta menjadi insan yang bertakwa

‘Idul Fitri atau kembali ke fitrah akan sempurna bilamana seseorang itu diampunkan dosa-dosanya oleh Allah serta memohon kemaafan sesama manusia. Amatlah rugi sekiranya kita semua sudah berada di bulan ramadhan tetapi tidak mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan bertaubat. Melalui madrasah ramadhan inilah kita melatih diri kita agar menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Oleh itu, sama-sama kita raih keampunan serta redhaNya.
Apakah yang dimaksudkan dengan TAQWA? Menurut Ali Bin Ali Talib, taqwa adalah takut dari ancaman Allah SWT, beramal sesuai dengan al-Quran, bersyukur dengan nikmat yang banyak, ridha dengan yang sedikit dan bersiap-siap untuk masa yang panjang. Ini selaras dengan perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud :“Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah sekali-kati kamu mati melainkan dalam keadaan ber-agama Islam”. [Surah Ali Imran: 102]
Semoga pada 11 bulan yang mendatang ini, seluruh umat Islam diberi kemudahan serta kekuatan untuk terus istiqomah melaksanakan ibadah-ibadah yang lazimnya dilakukan pada bulan Ramadhan seperti bertadarus, berqiamulail, beriqtikaf, bersedekah dan lain-lain. Ia seiring dengan matlamat kita berada dibulan mulia ini untuk melahirkan mukmin yang bertakwa serta diampunkan dosa-dosa oleh Allah. Seperti Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” 

2. Berhati-hati pulang ke pangkuan keluarga tercinta

Dalam keceriaan menyambut Syawal, jangan diabaikan soal keselamatan. Kepada rakan-rakan yang akan pulang berhari raya di kampung, pastikan kenderaan anda diperiksa agar dalam keadaan baik. Pandulah dengan berhati-hati dan cermat. Bagi yang bermusafir, jangan lupa membaca doa perjalanan. Nabi SAW bertakbir ketika mana Baginda menaiki bukit “Allahu Akbar, Allahu Akbar”. Ketika mana turun bukit, Baginda bertasbih “Subhanallah, Subhanallah”. Kami daripada Persatuan Mahasiswa Islam UTM, mendoakan semoga kalian selamat tiba ke destinasi dengan selamat.

3. Menjaga adab-adab syawal

Marilah sama-sama perbanyakkan amalan sunat dan menjauhi larangannya di hari raya aidilfitri ini. Allah SWT mengajar kita supaya sederhana dan tidak melampaui batas. Sebagai peringatan bersama, di samping kesibukkan dan keseronokan merayakan Aidilfitri yang berbahagia ini, janganlah kita lalai sehingga kita meninggalkan kewajipan kita sebagai umat Islam dan melakukan perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan Aidilfitri ini seperti meninggalkan solat, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mengumpat, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, dan bermacam-macam lagi kemungkaran. Semoga Aidilfitri yang kita rayakan benar-benar akan membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada kita semua.

4. Puasa 6 dibulan syawal jangan dibiarkan berlalu

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal:
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata, Rasulullah saw bersabda; maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim no: 1164]
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Akhir kata dari kami:

“kullu ‘am wa antum bi khair”

Taqabbalallahu minnaa wa minkum “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu”. Minal aidin wal faidzin “semoga Allah menjadikan kita, orang-orang yang kembali kepada fitrah (ketaqwaan/kesucian) dan orang-orang yang menang dari melawan hawa nafsu dan mendapat redha Allah”. InsyaAllah, Ameen..

Nur Amirah Fitriah Binti Zainal
Setiausaha Agung,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Teknologi Malaysia.



.:PERUTUSAN RASMI PMIUTM SEMPENA SYAWAL 1434H:.
%d bloggers like this: