Malam ini terasa amat dingin sekali. Angin bertiup bersepoi-sepoi diiringi sahutan bunyi cangkerik yang memeriahkan suasana malam yang gelap gelita ini. Fikiranku menyingkap kembali pesanan ibuku sebelum aku bertolak ke kampus aku kelmarin, “Wajdi, balik universiti nanti jangan lupa belajar elok-elok. Jangan sia-siakan waktu dan duit yang dibelanjakan untuk kamu belajar di sana.” Aku kini bergelar seorang mahasiswa fakulti elektrik di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bharu. Aku teringat bagaimana susahnya aku berusaha untuk melayakkan diriku untuk bergelar mahasiswa di kampus ini. Namun kini aku rasa usahaku berbaloi dan aku akan cuba untuk menamatkan ijazah aku dengan cemerlang.

                Tengah hari ini aku melangkah kaki ke Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM untuk mengulang kaji pelajaran memandangkan kelas aku hari ini hanya dari jam lapan pagi hingga jam sebelas tengah hari. Aku telah menanam azam untuk membetulkan gred aku yang tidak berapa elok ini di semester-semester akhir aku di sini. Kata rakan-rakan mahasiswa lain syarikat sekarang hanya memilih graduan yang nilai gred lebih dari 3.00 sahaja. Jadi lebih baik aku sediakan payung sebelum hujan untuk melepaskan diriku daripada permohonan aku nanti ditolak awal-awal. Sedang mata aku kusyuk menghadap skrin computer ribaku, pandanganku tertarik kepada satu kumpulan mahasiswi yang tengah rancak berbincang sesama mereka sambil tersenyum. Aku tertarik kepada seorang gadis yang mengenakan baju kurung warna hijau dan bertudung labuh. Badannya kecil, berkulit putih, dan mukanya comel. Tambahan bila dia senyum terpamer lesung pipit yang menambahkan kecomelan wajahnya. Wajahnya mirip seperti wajah pelakon wanita Heliza Helmi. Tiba-tiba hatiku berdebar bila mata kami bertembung sewaktu aku asyik perhatikan dia, aku hanya senyum padanya untuk menyembunyikan perasaan berdebar aku tetapi aku lihat dia tidak balas senyumanku dan sebaliknya menundukkan pandangannya. Kemudian dia menukar tempat duduknya membelakangkan diriku. Aku sedikit kecewa namun tetap penyimpan hasrat untuk mengenalinya.

                Hari-hari berikutnya aku ke perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran dan dalam masa yang sama menanti kemunculan seorang gadis yang telah membuatkan hatiku berseri-seri. Hari demi hari terus berlalu dan aku rasa sedikit kecewa kerana kelibatnya masih tidak muncul-muncul namun secara tidak dijangka pada hari yang sama seperti minggu lepas iaitu hari Khamis pada waktu tengah hari aku terpandang pada seorang gadis yang comel berjalan bersama-sama kawan-kawannya ke tempat yang sama seperti sebelumnya. Kali ini aku mengambil satu tempat yang sedikit tersorok untuk mengintai diri penyeri hatiku. Kebetulan sedang aku berkira-kira bagaimana cara untuk mengenali dia dengan lebih rapat, Sarah rakan kuliah aku lalu di hadapanku sambil terpinga-pinga mencari tempat. Aku pun menegurnya. “Hai, Sarah tak nak belajar sekali ke?”. Dia sedikit terkejut dengan sapaanku. “Ish kamu ni Wajdi buat aku terkejut je. Boleh ke aku belajar sekali”. Aku pun mengangguk tanda setuju. Sedang kami belajar itu aku mengambil kesempatan untuk meminta Sarah untuk siasat lebih lanjut mengenai gadis yang sedang aku angaukan sekarang,  “Sarah, aku nak minta tolong sikit boleh?”. “Kau ni tersenyum-senyum macam kerang busuk je ni mesti ada apa-apa kan? Nak minta tolong apa? Kalau aku mampu boleh la aku tolong, kalau aku tak mampu aku minta maaf awal-awal ye.” Wajdi pun tersenyum dan mula melontarkan soalan, “Aku nak minta tolong kau ni. Tolong dapatkan maklumat pasal minah yang pakai baju biru tudung labuh biru muda kat hujung tu boleh tak?”. “Oh patutlah duduk kat sini. Selalunya kau duduk kat sana. Nak mengintai awek tu la ye?”. Wajdi tersenyum sambil menggarukan kepalanya yang tak gatal itu. “Oh awek yang tu susah sikit la Wajdi. Nama dia Umairah, dia anak ustaz Kamil pendakwah bebas di kawasan Gelang Patah. Ramai orang yang minat dia tapi batalkan hasrat sebab dia ada sertai usrah dan orang yang minat dia tu takut dengan ayah dia. Tu geng-geng usrah dia la tu. Nah ni nombor dia, tapi jangan beritahu dia aku yang bagi ye.” Wajdi menelan air liur dengan muka sedikit cuak. “Anak ustaz? Usrah? Bolehkah aku yang tak berapa nak amalkan ajaran Islam ni”.  Sarah hanya tersenyum dan menjongketkan bahu. Kemudian kami meneruskan ulang kaji dan aku tidak dapat fokus ke komputerku kerana mataku sering memandang wajah dia yang tersenyum. Aku berasa sungguh bahagia apabila melihatnya tersenyum.

Alhamdulillah kini aku telah menyertai usrah Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) setelah aku mengetahui Umairah juga menyertai usrah PMI. Namun satu kebenaran yang aku rahsiakan pada orang lain ialah aku menyertai usrah ni hanya kerana aku nak dekati Umairah. Kini aku hanya berbaki dua semester lagi dan aku hanya berpeluang berjumpa dengan Umairah apabila ada program seperti berbuka puasa, riadhah dan kuliah-kuliah. Hatiku betul ingin berjumpa dengan dia dengan bersemuka. Jadi aku telah merancang satu rancangan untuk berjumpa dengan dia. “Assalam, Umairah ni ana Khairul Wajdi. Boleh ana nak minta tolong sesuatu dari anti?” Aku menghantar masej yang pertama kepada Umairah.  “Waalaikumussalam wbt. Oh, Wajdi boleh je, insyaAllah” .Aku menjalankan rancangan aku dengan meminta pertolongan untuk dia menasihatkan adik perempuan aku. Aku memintanya untuk datang seorang kerana aku mengatakan adik aku ni seorang yang pemalu dan aku berharap dia dapat menasihatinya secara berseorangan. Keesokan harinya seperti yang dirancang Umairah datang dengan mengenakan jubah berwarna merah hati dan bertudung putih kemerahan ke Plaza Angsana. Bila dia sampai aku melambai-lambai tangan kepada dia memanggilnya, “ Umairah.Umairah…” . Dia melangkah ke arahku dengan senyuman. Aku berasa sangat bahagia. “Eh, Wajdi mana adik anta?”. “Oh. Maafkan ana sebab dia tak dapat datang sebab tiba-tiba ada hal pula. Jadi sebab anti dah susah payah datang ana dah pesan nasi ayam penyet untuk anti. Jom makan dulu.” Aku senyum padanya dan aku lihat dia seperti serba salah tetapi tetap duduk untuk makan sekali. Mungkin kerana sekadar nak meraikan tetapi bagi diriku ini adalah satu permulaan yang baik. Penipuan ini berlaku sebanyak dua tiga kali sehingga kini aku tidak perlu untuk berbohong untuk mengajak dia keluar. Orang lelaki ini memang pandai pujuk sampai muslimah yang telah mengikuti usrah dari tahun satu pun boleh terjebak dengan masalah hati ini.
Aku sedikit pun tidak berasa bersalah atas apa yang aku lakukan sehinggalah di awal semester akhir berlaku satu peristiwa yang mengubah hidupku sebanyak tiga ratus enam puluh darjah. Pada hari kekasih ataupun dikenali sebagai Valentine’s Day aku telah mengajak Umairah keluar ke Danga Bay untuk makan malam bersama. Kami mengenakan baju yang sama warna iaitu warna biru laut. Sedang kami asyik bersembang aku terlihat wajah Umairah tiba-tiba tertunduk takut, aku pun menjadi pelik dan bertanya, “Sayang, kenapa sayang nampak cemas je?” .Belum sempat dia menjawab tiba-tiba datang seorang pak cik berkopiah datang menyapa. “Assalamualaikum, saya Ustaz Kamil. Ayah kepada Umairah Faqihah. Esok jemput ke rumah saya lepas Isyak. Kita makan sekali dengan Umairah dan keluarga” Senyuman tidak lekang dari wajah ustaz itu dan dia membawa Umairah pergi. Kali ini aku pula menjadi tak senang duduk memikirkan samaada aku hendak datang ke tidak. Malam itu aku tak boleh tidur sebab memikirkan peristiwa tadi. Sedang aku berusaha untuk tidur sampai satu masej. “Assalam, Wajdi kalau betul awak nak berkawan dengan saya datang rumah selepas Isyak esok. Alamat saya dah bagi dekat inbox  facebook awak.” Masej ini betul-betul menambahkan kegusaran aku. Malam itu aku termenung dan akhirnya kerana tidak tahu hendak mengadu kepada siapa aku menunaikan solat sunat hajat yang telah bertahun aku tinggalkan. “Assalamualaikum!” aku memberi salam di hadapan rumah Umairah. Kemudian aku melihat ustaz semalam datang mendukung anaknya yang bongsu berusia lebih kurang dua tahun lebih. “Waalaikumussalamwarahmatullah.Masuklah.” Kata ustaz itu dengan tersenyum. Aku sedikit gementar bila duduk bersama keluarga Umairah kerana aku baru tahu yang Umairah mempunyai keluarga yang besar. Aku berasa bimbang jika aku dimalukan di hadapan keluarga dia yang ramai itu. Namun sangkaan aku jauh tersasar. Keluarga Umairah melayan aku dengan sangat baik dan aku memang sangat senang dengan keluarga dia. Ini menambah minat aku kepada Umairah. Setelah habis makan ayah Umairah mengajak aku ke anjung rumah dia untuk teman dia bersembang. Pada waktu ini aku makin bimbang dan apabila sampai di anjung dia ajak duduk di kerusi dan mula bertanya. “Boleh tak saya tanya kenapa awak bawa Umairah ke Danga Bay semalam berdua-duaan”.  Aku dengan takut pun menjawab, “Sebenarnya ustaz saya dah lama minat anak ustaz dan semalam saya ingin melamar dia kerana semalam adalah hari kekasih. Jadi saya rasa semalam adalah waktu yang sesuai.” Aku menjawab sambil tunduk takut dan malu. “Ish.Ish. Kamu ni Khairul Wajdi. Semalam kamu sudah melakukan tiga kesalahan serentak. Pertama kamu berdua-duaan. Kedua kamu menyambut hari kekasih dan ketiga kamu tidak mengikuti ajaran Islam yang sebenar dalam melamar”. Aku hanya tertunduk malu sambil mendengar apa yang disampaikan oleh ayah Umairah. Tetapi satu perkara yang amat aku senang dengan ayahnya ialah ayahnya tidak pernah meninggikan suara tetapi menasihati aku dengan senyuman. Di sini baru aku tahu tentang sejarah hari kekasih dan hukum meraikannya.
Selepas dari peristiwa itu aku langsung tidak menghubungi Umairah tetapi kini aku mengikuti usrah khusus yang dijalankan oleh ayah Umairah di surau berdekatan rumahnya. Aku sedang menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaranku kerana aku berusaha untuk graduasi bersama-sama rakan-rakan sekuliah aku. Aku berasa amat bersyukur dengan hidayah yang dikurniakan ke atasku. Perasaan ikhlas mengikuti usrah PMI telah dapat aku bina setelah dinasihati oleh naqib aku setelah berita aku dipanggil ke rumah Umairah sampai ke telinganya. “Wajdi, semua manusia pernah melakukan kesilapan dan umat Islam yang beriman tidak akan jatuh ke lubang yang sama dua kali. Sebagai denda abang nak kamu balik nanti cuba cari tentang sejarah “hijrah Ummu Qis” dan kongsi dengan rakan-rakan usrah yang lain. Pada malam yang hening ini aku bersyukur sambil menitiskan air mata terharu atas kasih sayang Allah pada insan hina seperti aku yang telah mencuba untuk menjatuhkan kehidupan seorang muslimah yang sejati. Aku bukan sahaja dikurniakan tunang sebaik Umairah Faqihah dan dalam masa yang sama aku dikurniakan sahabat-sahabat yang baik. Terima kasih Allah kerana masih memberi peluang kepada diriku ini dan aku akan cuba menyampaikan dakwahMu kepada kawan-kawan aku yang lain di luar sana.InsyaAllah.
Tamat.

NUKILAN :

KREW PENERANGAN
LAJNAH PENERANGAN DAN MULTIMEDIA
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
.::PMI BERSAMAMU::.

NOVELIS:: Hidayah Buat Kekasih
%d bloggers like this: