Rabu,24 Ogos 2011 – Naib canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Zaini Ujang telah menerima Anugerah Zamalah Kehormat Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan Asean (AFEO) kerana sumbangan cemerlang beliau terhadap profesian kejuruteraan.   

Beliau menerima anugerah itu daripada setiausaha agung AFEO Datuk Paduka Prof Dr Keizrul Abdullah pada majlis khas di Kampus Antarabangsa UTM di sini.         

“Saya berasa amat bertuah kerana dikurniakan Zamalah Kehormat ini. Pengiktirafan ini bukan saja penghormatan untuk diri saya, tetapi juga terhadap UTM yang merupakan universiti penyelidikan terulung di Malaysia dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi,” kata Zaini semasa berucap pada majlis itu.

Zaini, yang juga seorang saintis dan jurutera alam sekitar profesional, banyak terlibat dalam penyelidikan bersepadu mengenai ekologi air dan sistem kejuruteraan bagi mengawal pencemaran, khususnya pemulihan sungai di negara membangun.    

Zamalah Kehormat AFEO dianugerahkan kepada anggota korporat AFEO terkemuka dan tokoh tersohor yang memberi sumbangan cemerlang terhadap profesion kejuruteraan, institusi dan negara.

Ia adalah yang kedua terbesar selepas Zamalah Kehormat Terunggul, yang penerimanya sebelum ini termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.   

AFEO adalah sebuah badan bukan kerajaan yang dianggotai institusi dan pertubuhan kejuruteraan dari negara anggota Asean yang bertujuan memupuk muhibah dan persefahaman serta meningkatkan dan memperkukuhkan standard asas Asean bagi profesion kejuruteraan.

Sumber sah daripada Bernama 24 Ogos 2011
Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UTM mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan yang terus ditempa oleh naib censelor UTM Prof Datuk Dr Zaini Ujang disamping menangkasakan nama UTM dipersada dunia sejajar dengan teknologi dan inovasi terus berkembang pesat di UTM. Moga dengan kejayaan ini menjadi inspirasi dan dorongan kepada adik-adik baru yang bakal melangkah masuk ke UTM untuk terus meletakkan azam penuh menerokai ilmu dan amal di bumi UTM bertuah ini.

Naib Censelor UTM terima anugerah Zamalah Kehormat AFEO
%d bloggers like this: