Malaysia ialah sebuah negara bebas. Apa ertinya bebas?, lantas mengapa begitu pentingnya untuk sebuah negara mencapai kebebasan, sehinggakan nyawa sanggup dijadikan gadaian. Kita dapat lihat dan menilai sendiri sejarah yang kita pelajari dari bangku sekolah, sebuah subjek yang diwajibkan lulus dalam setiap peperiksaan, bertapa ulungnya semangat mereka perwira yang berjuang demi membebaskan negara dari cengkaman kuasa luar. Walhal hero-hero ini adalah sama seperti kita, mereka juga bergelar manusia. Namun, berbezanya kita dengan mereka adalah pencetus atau sebab utama mereka sanggup mengorbankan segalanya iaitu kemerdekaan. Kemerdekaan yang dikejar mereka yang kini dirasa oleh kita merupakan salah sebuah nikmatNya. Tetapi bukan bermakna semangat perjuangan kita tidak kental jika ingin dibandingkan dengan pewira-pewira dahulu kala kerana Allah mencipta kita bukan sia-sia. Kita mengatakan cinta terhadap Negara, melaungkan lagu kebangsaan dengan patriotiknya, menulis esei tentang kepentingan memupuk semangat cintakan Negara namun sejauh manakah kita sanggup bertindak demi sebuah kemerdekaan. Mungkin ada yang menyatakan sudah cukup buat mereka menyambut 31 Ogos dengan melambaikan bendera Malaysia, menyokong pasukan bola negara dengan sungguhnya atau menyertai pertandingan kebangsaan demi mengharumkan nama negara yang tercinta.

Tetapi bagaimanakah kita, seorang muslim mentafsirkan sesebuah kemerdekaan?. Wahai sahabatku sekalian, kemerdekaan hakiki ialah apabila kita bebas dari cengkaman hawa nafsu dan pemikiran-pemikiran negatif serta songsang yang disebarkan melalui pelbagai media. Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 60 tahun, walau bagaimanapun kita dapat lihat sendiri kerosakan akhlak sebuah masyarakat yang kian menular dan sudahkah kita berusaha sepenuhnya menjalani tanggungjawab kita sebagai seorang khalifah?.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah 41;
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

Pemimpin yang berjiwa merdeka seharusnya membebaskan minda mereka daripada mentaliti yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sebaliknya keperluan rakyat mestilah diutamakan kerana ia adalah tanggungjawab bagi setiap pemimpin. Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang amat mengambil berat hal kebajikan rakyatnya. Pernah pada suatu malam, ketika mana beliau meronda di sekitar kota, beliau telah terdengar suara tangisan anak-anak kecil. Apabila diselidiki, beliau mendapati anak-anak tersebut menangis kerana kelaparan. Lalu beliau mengambil sendiri gandum di baitul mal dan memasakkan serta menghidangkannya kepada keluarga dhaif tersebut. Setiap individu tidak perlu menunggu meraih gelaran seorang raja untuk bertindak sebagai pemimpin, kerana setiap insan dilahirkan di muka bumi sebagai seorang pemimpin dan pejuang.

lslam tidak pernah menghalang kebebasan manusia, sebaliknya kebebasan itu mestilah digunakan sebaiknya untuk mencari keredaan Allah S.W.T. Seperti slogan kemerdekaan tahun ini iaitu ” Negaraku sehati sejiwa “, sudah sehati sejiwakah kita sebagai sebuah ummah?. Sebuah ummah yang berkasih sayang antara satu sama lain, memahami dan menerima perbezaan dengan hati yang terbuka, dan menjadikan Islam sebagai asas kepada kehidupan. Kita dapat lihat bertapa deritanya saudara-saudara kita yang sedang berperang demi sebuah kebebasan seperti yang di Rohingnya, Palestin, Afrika dan lain-lain. Kita patut bersyukur kerana tidak dibunuh dan dipenjarakan hanya kerana ingin menunaikan solat atau masih lagi bebas mengutarakan pendapat-pendapat dan cinta terhadap Allah S.W.T di khalayak ramai.
Kita seharusnya sedar bertapa untungnya kita kerana dapat menuntut ilmu agama dengan bebasnya, memakai pakaian yang mengikut syariat dan mengucapkan salam dengan tenangnya antara satu sama lain.

Dari Ibnu Umar, dia berkata: Aku bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu seorang laki-laki Ansar datang kepada beliau, kemudian mengucapkan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu dia bertanya: “Wahai, Rasulullah. Manakah di antara kaum mukminin yang paling utama?” Beliau menjawab, “Yang paling baik akhlaknya di antara mereka.” Dia bertanya lagi: “Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?” Beliau menjawab, “Yang paling banyak mengingat kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.”

Manusia mudah lupa dek kegembiraan dan keselesaan yang dirasa, hargailah masa yang diberi dengan mengingati mati dimana ajal kita tidak diketahui sesiapa melainkanNya. Moga Allah memelihara kemerdekaan Negara kita, memberi kemerdekaan kepada saudara-saudara di luar sana dan menguatkan semangat kita mencapai kemerdekaan hakiki.

Akhir kalam, kami dari pihak Persatuan Mahasiswa Islam UTM ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke-60 !
#pmibersamamu #NegarakuSehatiSejiwa #selamatberpuasasunat

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!
%d bloggers like this: