Segala puji bagi Allah atas segala nikmat kurniaan dan segala ujian yang telah diberikanNya. Selawat dan salam ke atas Rasululullah SAW, keluarga baginda, para sahabat dan tabi’ tabiin.

Kita sudah menghampiri fasa terakhir Ramadhan iaitu fasa pelepasan daripada azab neraka.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Qadr:



         Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan. Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).                                                                                                                                                                             (Al-Qadr:1-5)

Dalam surah ini jelas Allah telah menjelaskan mengenai kewujudan malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ayuh, seluruh umat Islam tingkatkan amalan bagi mendapatkan Lailatul Qadr.

          Sayyid Qutub dalam tafsir Fi Dzilalil Quran menyatakan, malam Lailatul Qadar bermandikan cahaya Allah, cahaya malaikat, dan cahaya roh sampai terbit cahaya fajar.

 Rasulullah saw. menyuruh kita menghidupkan malam itu,
”Barangsiapa bangun untuk ibadah di malam Lailatul Qadar, dengan iman dan harapan, akan diampuni dosa-dosanya yang lampau.”

          Betapa pengasih dan penyayangNya Allah kepada para hambaNya. Disediakan satu malam kepada hamba-hambNya untuk beribadah dan ganjarannya amatlah besar dan berganda-ganda. Amat rugilah kepada yang tidak merebut peluang yang Allah telah kurniakan kepada kita.

          Jika kita lihat budaya masyarakat kita semakin hari semakin berkurang Jemaah masjid untuk bertarawikh berbanding dengan hari pertama Ta
rawikh di masjid, ruang sehingga tidak mencukupi dan melimpah hingga ke bahagian luar masjid, ingin merebut ganjaran dariNya.Tetapi apabila melalui fasa-fasa akhir semua sibuk dengan adunan kuih masing-masing. Tidak kurang jua yang sibuk dengan kain langsir dan perabot-perabot rumah yang perlu diganti dengan yang lebih menarik. Orang ramai berpusu-pusu untuk menghadiri shopping mall berdekatan dengan rumah masing-masing tanpa menghiraukan waktu solat. Tidak saya katakan salah untuk berbuat sedemikian, namun bersederhanalah jangan sampai melanggar syariat Allah.

          Beringatlah bahawa Ramadhan hanya datang setahun sekali atau sebulan dalam masa 12 bulan. Tidak mungkin kita tidak mampu untuk beri yang terbaik dalam bulan ini. Alhamdulillah kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini. Adakah anda yakin yang anda akan menemuinya jua di tahun yang mendatang? Ayuh, kita muhasabah diri bersama agar kita tidak berada  dalam kalangan orang-orang yang rugi di Akhirat kelak.

          Madrasah Ramadhan banyak mendidik kita untuk menjadi hamba yang lebih sabar dan lebih baik. Segala amalan cuba kita lakukan bagi mendapatkan apa yang dijanjikan olehNya. Namun, harus diingat, bukan dikala Ramadhan saja kita melakukan segala amalan yang baik, namun dibulan-bulan yang lain kita langsung tidak melakukan sebarang kebaikan. Ramadhan bulan tarbiyah untuk kita didik diri kita untuk menjadi lebih istiqamah.

Rasulullah SAW bersabda, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullahu Taala daripada Saidatina Aisyah R.Anha:

Maksudnya :
“Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan berterusan dilakukan walaupun sedikit. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengekalkan momentum yang telah kita peroleh dalam bulan tarbiyah ini untuk kita menjadi hamba yang istiqamah di bulan-bulan yang lain. Semoga Allah meredhai kita dunia dan akhirat.Wallahua’lam.


Sumber:
– Surah Al Qadr: 1-5


Disediakan Oleh,
Lujnah Penyelidikan dan Pembangunan
Persatuan Mahasiswa Islam UTM

.::PMI BERSAMAMU::.

MENGEJAR LAILATUL QADAR
%d bloggers like this: