Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan maha Penyayang

Assalamualaikum wbt..


Jumaat, 22 Mac 2013. Sebuah pertemuan telah berlangsung di antara Presiden Persatuan Mahasiswa Islam 2012/13 Saudara Muhammad Khalid bin Mohd Jali dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA), UTM yang baru iaitu Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.


Kami dari PMIUTM mengucapkan tahniah dan syabas di atas perlantikan Prof sebagai Timbalan Naib Canselor HEMA, UTM yang baru. Semoga dengan lantikan ini dapat memperbaiki kebajikan dan keperluan mahasiswa dari semasa ke semasa tanpa mengenepikan pembinaan modal insan seorang mahasiswa yang cemerlang dari sudut akademik dan juga sahsiah.


Pertemuan telah dibuat bertujuan menyerahkan surat harapan daripada Presiden PMIUTM kepada TNC HEMA berkenaan beberapa perkara yang memerlukan perhatian yang lebih daripada pihak TNC dan pentadbiran UTM.
Antara perkara yang dinyatakan di dalam surat harapan tersebut ialah berkenaa budaya Hedonisme, Speaker Corner, Wisma Mahasiswa, peruntukan program mahasiswa dan 6 Tuntutan Pilihanraya Kampus.

1. Hedonisme
Berikut merupakan aktiviti-aktiviti yang pernah berlangsung di bumi UTM ini, persembahan Datuk Siti Nurhaliza, Joe Flizzow & Ila Damia, Johan Raja Lawak , Hyper Act, Jay Jay , Rahmat Mega (penyanyi rock), Estranged (penyanyi rock) semasa pesta Konvo-49.

Kami, PMI UTM sangat kecewa dengan apa yang pernah berlaku di sebuah gedung ilmu. Tidak  sepatutnya bagi sebuah gedung ilmu, tempat turunnya rahmat Tuhan dicemari dengan hiburan yang keterlaluan serta percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan bahkan tiada langsung mengikut garis pandu yang telah ditetapkan oleh agama Islam.

Budaya membawa masuk hiburan keterlaluan ke dalam universiti tanpa mematuhi dasar kebudayaan dan kesenian UTM (1993) yang sedia ada sepatutnya tidak berlaku bagi sebuah gedung ilmu. Kami merasakan perlu di peringkat pentadbiran untuk menguatkuasakan semula dasar yang sedia ada sebagai garis pandu dalam menganjurkan sebarang program kerana ia merupakan undang-undang yang dicipta oleh manusia dan bertepatan juga dengan kehendak agama Islam. Tiada gunanya sebuah dasar yang kita reka andai tidak diikuti.

Seharusnya universiti terkehadapan menghidupkan kembali ‘biah solehah’ yang pernah wujud awal penubuhan UTM dahulu. Bina kembali suasana tersebut dengan perbanyakkan menjemput penceramah-penceramah selebriti yang dilihat amat digemari oleh anak muda hari ini kerana penyampaiannya yang santai dan mudah difahami. Semoga universiti menjadi pelopor kepada bidang inovasi tanpa mengenepikan pembinaan modal insan seorang graduan UTM.

2. Speaker Corner
Kami ingin memetik kata-kata perasmi tapak sudut pidato oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifudin Abdullah, “Sudut pidato sepatutnya menjadi tempat untuk mahasiswa menguji bakat & melatih kemahiran berkomunikasi sesuai dengan kehendak pasaran yang perlukan pekerja yang mampu berfikir secara kritis”.

Namun sejak tapak sudut pidato itu wujud, banyak karenah dan birokrasi yang mahasiswa perlu tempuh untuk berpidato sehinggakan ada rakan-rakan kami terpaksa membatalkannya kerana arahan dari pihak pentadbiran. Banyak alasan yang dikeluarkan setiap kali sudut pidato hendak dijalankan dan sekalipun dibenarkan, penuh pengawai keselamatan yang turun seolah-olah kami akan lakukan rusuhan. Birokrasi yang ada setiap kali sudut pidato ingin dijalankan sangat dikesalkan. Kami perlu menghantar surat kepada pihak keselamatan dan HEMA. Surat perlu disertakan dengan lampiran apa yang ingin dikatakan dan banyak lagi. Jika kelulusan diberi, banyak halangan yang akan diberi, hanya sekian-sekian orang yang dibenarkan berucap, dalam tempoh masa tertentu, dan apa yang diucapkan perlu sama dengan apa yang dilampirkan. Ianya seperti membaca teks! Perkara ini telah menyekat mahasiswa mengasah bakat mereka berpidato dan ia sangat berlawanan dengan aspirasi, sejarah dan asal-usul sudut pidato.

Kita boleh lihat bermulanya di England sehinggalah ke Universiti Malaya. Sudut pidato banyak melahirkan pemimpin mahasiswa yang berjiwa masyarakat. Semestinya, sudut pidato yang melahirkan pemidato dan pemimpin seperti mereka tidak punya birokrasi dan halangan-halangan sebegini. Justeru, PMIUTM berharap agar Prof membebaskan mahasiswa daripada birokrasi yang melampau ini bagi meraikan kehendak mahasiswa untuk berpidato di pentas sudut pidato.

3. Wisma Mahasiswa
Berpersatuan menjadi satu kewajiban kepada mahasiswa dalam melatih dan mendidik diri menghadapi realiti dunia kerjaya.  Dimana dunia hari ini memerlukan mahasiswa yang baik dari sudut pengurusan dan kepimpinan. Antara asas penting bagi sebuah persatuan adalah bilik. Bilik inilah yang akan digunakan sebagai tempat menyimpan aset, tempat untuk merancang dan juga tempat berkumpul sesama ahli persatuan. Agak rumit bagi sesebuah persatuan untuk bergerak tanpa bilik. Apa yang berlaku di UTM adalah, tidak semua persatuan mempunyai bilik sendiri dan yang ada pun terpaksa berkongsi dengan persatuan lain. Ini amat menyukarkan persatuan dan banyak masalah antara persatuan yang timbul angkara dari perkongsian bilik, masalah seperti kehilangan barang dan sebagainya sehingga menimbulkan kedinginan antara persatuan. Ini bukan masalah baru, tetapi sudah berlarutan sekian lama.

Lebih buruk lagi, pengambilan Student Union Building (SUB) yang dijadikan pejabat HEMA, menambah parah lagi masalah bilik persatuan ini. Yang amat dikesali adalah persatuan yang kehilangan bilik tidak diganti dengan selayaknya. HEMA tidak menguruskan perkara ini dengan sebaiknya. Banyak persatuan yang menjadi mangsa akibat daripada pengambilan SUB. Hakikatnya, HEMA sebagai bapa mahasiswa tidak memainkan peranan selayaknya, malahan mengorbankan kepentingan mahasiswa demi untuk kesenangan dan keselesaan HEMA.

Disini PMIUTM ingin mengajukan cadangan tempat yang dirasakan sesuai untuk diberikan kepada mahasiswa agar dijadikan bilik persatuan mereka iaitu centre point (CP), berhampiran fakulti alam bina. Sudah hampir 2 tahun CP dibiarkan tidak diurus sehingga mencacatkan pemandangan UTM. Bangunan usang ini perlu diubahsuai untuk dijadikan beberapa bilik dan tempat mahasiswa berbincang dan bertuka
r pandangan sesama badan persatuan.

4. Peruntukan program mahasiswa
PMI UTM melihat mahasiswa perlu aktif mengikuti bahkan menganjurkan program kerana melalui program, mahasiswa akan dapat banyak nilai tambah yang diperlukan sebagai graduan selain daripada cemerlang akademik. Persaingan pekerjaan yang kian mencabar memaksa mahasiswa mempunyai nilai tambah yang kebanyakannya boleh diperolehi dengan berprogram. Tapi malangnya apa yang berlaku, semenjak beberapa semester ini HEMA telah mengurangkan peruntukan bahkan ada juga program yang tidak diberikan langsung peruntukan.

Pengurangan peruntukan pernah sehingga memustahilkan bajet program dapat dipenuhi walaupun kerja-kerja mencari dana dijalankan. Seharusnya HEMA sedar tugas utama mahasiswa adalah menuntut ilmu, bukannya mahasiswa perlu menghabiskan banyak masa mereka untuk mencari dana program. Perkara ini mengakibatkan mahasiswa bosan dan serik untuk membuat program kerana tidak larat lagi untuk mencari dana program. Walhal program-program yang ingin dijalankan adalah sangat baik untuk perkembangan mahasiswa dan nama universiti tetapi tidak dapat sokongan daripada HEMA. Oleh itu, diharapkan pihak pentadbiran dapat memberikan keutamaan dari segi dana kepada program yang dianjurkan oleh mahasiswa.

5. 6 tuntutan Pilihanraya Kampus
Pada semester 2 sesi 2011/2012, kami telah menghantar memorandum kepada TNC HEMA sebelum ini, Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajuddin Bin Hj. Ninggal berkenaan 6 cadangan dari kami untuk penambahbaikan sistem pilihanraya kampus. Kami mengharapkan agar pihak Prof mengambil perhatian dan tindakan terhadap 6 tuntutan yang kami sampaikan sebelum ini. Antara isi tuntutan tersebut adalah berkenaan sistem parti, jumlah kerusi, tarikh pilihanraya, jawatankuasa pilihanraya, kebebasan berkempen dan dana calon.

a) Membenarkan sistem parti semasa pilihanraya kampus.
Tujuan cadangan ini dikemukakan adalah agar suasana demokrasi yang lebih kompetetif dan progresif dapat diwujudkan bagi menarik minat mahasiswa UTM untuk turut terlibat dalam menjayakan sebuah pilihanraya kampus yang harmoni dengan persaingan yang sihat antara calon-calon yang bertanding. Cadangan ini juga dilontarkan kerana secara sedar atau tidak, sistem parti ini memang wujud di UTM melalui pemerhatian kami pada sesi pilihanraya kampus yang lepas. Persaingan progresif yang wujud antara Aspirasi Evolusi Mahasiswa dan Pro Mahasiswa jelas kelihatan. Oleh itu, kami mohon agar manual pilihanraya kampus berkenaan peraturan pilihanraya kampus dapat ditambah baik dengan pilihanraya secara berkumpulan adalah dibenarkan agar mahasiswa lain yang terlibat dalam acara besar ini dapat membina karakter seorang pemimpin mahasiswa yang lebih realistik.

b) Mengoptimumkan jumlah kerusi yang dipertandingkan bagi setiap fakulti
Perlu dilakukan penelitian semula tentang jumlah kerusi yang dipertandingkan bagi setiap fakulti agar berpadanan dengan jumlah mahasiswa dan keperluan tenaga kerja yang efektif bagi menjalankan tugas sebagai seorang MPM yang berada dalam fakulti tersebut. UTM menjadi universiti yang mempunyai begitu ramai MPM iaitu seramai 66 orang. Apa yang menjadi kehairanan di peringkat kami, universiti lain yang mempunyai bilangan mahasiswa yang hampir sama dengan UTM, cukup bagi mereka sekitar 20-30 MPM/MPP. Bukan bermaksud UTM perlu ikut apa yang dilakukan universiti lain, tetapi jika disitu dapat mengurangkan kos yang berkaitan untuk 66 orang MPM apa salahnya ? Seterusnya, perlantikan jawatan tertinggi dalam organisasi MPM UTM yang tidak bergantung kepada tiket umum atau fakulti ini sangat memelikkan kami. Jadi apa beza calon umum dan calon fakulti? Oleh itu, kami mohon agar diteliti semula jumlah kerusi bagi setiap fakulti dan perlantikan jawatan tertinggi dalam organisasi MPM UTM.

c) Tarikh pilihanraya kampus yang tetap
Tarikh pilihanraya kampus seharusnya ditetapkan dan diletakkan di dalam takwim universiti. Hal ini kerana ketulenan sistem demokrasi yang meraikan kepada persaingan sihat perlu dijauhi campur tangan politik luar yang boleh menganggu gugat perjalanan politik kampus. Hal ini juga dapat memberikan masa untuk melakukan persediaan yang cukup buat calon mahasiswa yang ingin bertanding. Penetapan tarikh pilihanraya kampus juga dapat mendidik kefahaman politik mahasiswa dalam membuat persediaan bagi menghadapi musim pilihanraya kampus.

d) Penglibatan mahasiswa dalam jawatankuasa pilihanraya kampus
Perlunya dilibatkan mahasiswa dalam jawatankuasa pilihanraya kampus supaya mahasiswa diberikan hak dalam membuat keputusan dalam jawatankuasa mengurus pilihanraya kampus. Mahasiswa tidak dikesampingkan dalam mengurus pilihanraya. Individu atau pihak yang berhak terlibat dalam mengurus pilihanraya kampus adalah mantan kepada kepimpinan majlis perwakilan mahasiswa yang lepas. Hal ini bagi memastikan pihak pentadbiran bersikap telus dalam mengurus pilihanraya kampus bersama mahasiswa. Kemudian mahasiswa mempunyai hak mengurus pilihanraya dan menentukan corak politik dan kepimpinan mereka. Juga memainkan peranan mahasiswa dalam menentukan kepimpinan mereka dalam menggerakkan pilihanraya kampus.

e) Mahasiswa diberi kebebasan berkempen sepenuhnya
Memberikan tempoh berkempen lebih lama iaitu selama 5 hari bekerja kerana 5 hari adalah tempoh waktu yang munasabah untuk calon berkempen ke seluruh mahasiswa kampus. Lokasi kempen juga penting buat seorang calon. Calon seharusnya diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk berkempen di dalam universiti termasuk kolej kediaman kerana calon mahasiswa berhak untuk berjumpa dengan semua mahasiswa termasuk yang berada di dalam kolej kediaman.

f) Memperuntukkan dana kepada setiap calon
Setiap calon yang bertanding diberikan peruntukan khusus untuk bertanding samada dalam bentuk tunai atau material. Hal ini dirasakan penting bagi memberikan semangat kepada calon yang bertanding untuk lebih berbakti kepada universiti setelah menang dalam pilihanraya kampus. Selain itu, peruntukan ini bagi mengurangkan beban mahasiswa yang sedia berhutang dan dalam masa yang sama menyiapkan diri untuk bertanding.

Akhir kalam, kami PMI UTM mengharapkan agar Prof dapat memberikan perhatian akan hal ini bagi bersama-sama melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah hebat dalam pengurusan, berani kehadapan menyuarakan pendapat, berkemahiran dalam komunikasi samada dengan masyarakat mahupun dengan orang-orang atasan dan sebagainya. Kami mendoakan agar Prof serta staf HEMA dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan baik untuk perkembangan mahasiswa serta Universiti Teknologi Malaysia yang tercinta ini


Sekian, Wassalam.



::KAMPUS::Pertemuan Pertama PMIUTM dengan TNC HEMA
%d bloggers like this: