Suara Siswa Edisi Rejab

Oleh: Abdul Azim Bin Abd Jamil

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan satu kes yang meruntun hati rakyatnya yang cintakan keamanan. Pada tanggal 25 Jun 2010, Berita Harian telah melaporkan di dalam akhbarnya mengenai satu berita yang berlaku di Maktab Tentera Diraja (MTD) Kem Sungai Besi Kuala Lumpur yang menyebabkan seorang pelajar tingkatan empat maktab berkenaan, Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, meninggal dunia disyaki akibat dibuli dan didera oleh pelajar senior maktab terbabit. Berita ini turut memenuhi dada-dada akhbar dan media massa yang lain di Malaysia.Timbul pelbagai perdebatan ataupun pandangan dikalangan beberapa individu terhadap kes yang dianggap semakin menjadi budaya di Malaysia ini. Kes buli dan dera sebenarnya bukannya isu baru yang digembar-gemburkan ketika ini.Ia merupakan isu yang sudah lama bertapak di Malaysia sejak dahulu lagi. Tidak dapat kita nafikan bahawa jenayah buli dan dera ini semakin menular dikalangan rakyat Malaysia terutamanya anak-anak muda dibangku sekolah,kolej matrikulasi ataupun di peringkat universiti sendiri. .


Jenayah buli dan dera yang semakin membimbangkan

Penulis melihat jenayah buli dan dera ini semakin hari semakin menjadi. Kebimbangan ini lahir apabila meneliti hasil kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan pada tahun 1999 yang menjelaskan tentang penularan gangsterisme yang semakin berleluasa di sekolah menengah seluruh negara. Fakta kajian tersebut menunjukkan satu pertiga daripada 1560 sekolah menengah kita adalah berisiko tinggi dan terdedah kepada berbagai-bagai kongsi gelap. Ini merupakan kajian yang dibuat pada tahun 1999, cuba kita bayangkan berapakah perangkaan terkini penularan gansterisme di sekolah menengah di seluruh negara. Adakah kita akan menganggap bahawa ia semakin berkurang ataupun semakin meningkat. Jawapannya ada pada kita sendiri.

Menurut Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) pula mendapati pembabitan pelajar sekolah dalam kes jenayah semakin serius. Sebanyak 1,996 pelajar ditahan kerana terbabit dalam 881 kes jenayah bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2003. Jelas pada kita jenayah buli dan dera ini semakin hari ke sehari semakin meningkat. Sepanjang tahun 1999 sehingga tahun 2003 sahaja seperti yang dilaporkan di dalam akhbar Berita Minggu bertarikh 14 Julai 2005, terdapat sebanyak 35 kes kematian akibat daripada jenayah buli dan dera yang dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh lima tahun berkenaan. Itu yang melibatkan kematian. Penulis ingin bertanyakan bagaimana kes yang tidak melibatkan kematian. Kita boleh bayangkan bagaimana banyaknya jenayah ini berlaku.

Mahadi Bin Hj. Khalid dari Institut Perguruan Batu Lintang di Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang pada tahun 2007 dalam hasil kajian beliau yang dibentangkan berkenaan tingkah laku buli dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak pula ada menyatakan bahawa :

“ Hasil kajian menunjukan tingkah laku buli dari jenis verbal merupakan tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pelajar-pelajar. Ciri-ciri tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan ciri-ciri tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pembuli dan mangsa buli. Hasil kajian juga mendapati bahawa punca tingkah laku buli fizikal yang sering dilakukan dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli adalah untuk menunjukkan dirinya kuat, manakala dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli adalah seperti umurnya yang lebih muda. Kesan fizikal yang wujud dalam kalangan pembuli adalah seperti suka melanggar peraturan sekolah manakala dalam kalangan mangsa buli pula adalah seperti suka ponteng sekolah atau kelas “

Merencatkan Intelektual Mahasiswa

Ayuh kita melihat pula situasi jenayah buli dan dera di peringkat mahasiswa. Penulis tidak dapat menafikan bahawa jenayah buli dan dera ini turut berlaku di peringkat mahasiswa dan bukan sahaja di peringkat sekolah menengah dan rendah. Cumanya ia tidak dihebohkan atau kurang dibongkarkan. Pelaku-pelaku jenayah buli dan dera di peringkat mahasiswa ini jelas merencatkan pertumbuhan intelektual mahasiswa di universiti. Ketokohan mahasiswa tercalar dek kerana perlakuan yang jauh menyimpang dari norma-norma hidup seseorang mahasiswa. Menurut Professor Syed Hussein Al-Attas dalam buku karangan beliau yang bertajuk ‘Intelektual Masyarakat Membangun’.Beliau ada menyatakan bahawa salah satu masalah utama yang berlaku dalam masyarakat berkembang adalah diakibatkan kemalasan intelektual.

Penulis bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Professor Syed Hussein Al-Attas tersebut kerana secara jelasnya seorang mahasiswa yang melakukan jenayah ini bukanlah mereka yang terdiri daripada kelompok yang tidak berintelektual. Mereka mempunyai kredibiliti yang tersendiri yang boleh dijadikan contoh.Namun akibat kemalasan intelektual menyebabkan kredibiliti yang wujud diruntuhkan oleh sikap mereka sendiri. Kemalasan intelektual yang wujud pada sesetangah pembuli inilah yang menjatuhkan kredibiliti seorang mahasiswa. Sepatutnya kelompok mahasiswa yang melakukan jenayah buli dan dera ini boleh berfikir secara matang tentang apa yang mereka lakukan ini. Kecerdikan yang diperoleh di bilik kuliah seharusnya dapat diadaptasi di dalam kehidupan harian.

Dalam menilai peranan yang sepatutnya dimainkan oleh kelompok mahasiswa. Mahasiswa harus segera berperanan dengan efektif kearah mencegah jenayah buli dan dera ini. Mahasiswa tidak harus punya alasan yang pelbagai untuk turun padang bersama membanteras jenayah buli dan dera ini. Setiap jenayah buli dan dera yang dilihat harus dilaporkan kepada pihak Hal Ehwal Mahasiswa (HEMA). Memang kita akui bahawa ia sukar kerana ia mungkin melibatkan soal keselamatan sendiri namun sikap berani harus ditampilkan untuk bersama membanteras jenayah ini agar kawasan universiti bebas daripada unsur-unsur negatif yang boleh merencatkan proses pembelajaran mahasiswa di kampus. Jaminan keselamatan terhadap pelapor kes-kes jenayah ini harus diberikan agar pelapor berani melaporkan setiap jenayah buli dan dera yang mereka lihat kerana semua pihak perlu ingat bahawa tidak mustahil sekiranya pelapor akan dipukul akibat daripada laporan yang dibuat.

Islam Itu Sejahtera

Kslau kita meniliti statistik, kita akan melihat bahawa orang Melayu yang beragama Islam yang banyak menghiasi arena jenayah buli dan dera ini.. Itu tidak dapat kita nafikan dan tutupinya. Perkara ini jelas menjejaskan imej Islam yang dibawa oleh mereka sedangkan Islam itu merupakan agama yang tidak pernah meredhai penganutnya untuk melakukan perkara seperti ini. Tindakan kononnya ingin menunjuk kekuatan diri dengan membuli mahasiswa baru adalah satu tindakan yang jelas salah dari sudut agama Islam dan pasti bercanggah dari sudut perundangan negara. Sabda Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhary :

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam saling kasih mengasihi dan saling menyayangi sebagaimana satu badan. Apabila satu anggota badan merasa sakit, akan terasa sakit seluruh badan dengan rasa demam dan tidak bisa tidur”

Jadi jelas kepada kita akan peri pentingnya membanteras jenayah buli dan dera ini. Kepada mahasiswa dan mahasiswi baru, usah takut untuk melaporkan setiap jenayah buli dan dera yang berlaku kepada anda kepada pihak HEMA ataupun pentadbiran kolej masing-masing. PMIUTM melalui Lujnah Kebajikan juga membuka seluas-luasnya bantuan kepada anda sekiranya terdapat unsur buli dan dera kepada anda. Akhir kalam, mahasiswa yang mendaftar di universiti ini inginkan ilmu dan kejayaan, usahlah kita cemarkan mereka dengan sikap buruk kita dengan membuli d
an mendera mereka. Ambillah hadis Rasullullah diatas sebagai ikhtibar untuk semua.

Jenayah Buli dan Dera
%d bloggers like this: