Bismillahirrahmanirrahim….

Wala hawla wala quwwata illa billah, tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT semata-mata.

Semenjak akhir-akhir ini, kes kecurian dan isu keselamatan mahasiswi terutamanya semakin membimbangkan. Terlalu banyak polemik yang dibicarakan setiap hari berkenaan dengan kes rogol, cabul, kecurian, pecah masuk bilik, siswa berada di kawasan kolej siswi pada waktu yang tidak sepatutnya dan sebagainya. Mari muhasabah bersama, seringkali kita lupa bahawa kealpaan kita sendiri dalam menjaga diri menjadi asbab berlakunya “penyakit-penyakit” ini. Melihat kepada perspektif yang lebih luas, saya berfikir bahawa ada masalah yang kita undang dan ada masalah yang kita tidak undang. Maka, kesalahan tidak hanya dituding pada Pihak Keselamatan UTM semata-mata tanpa menuding kearah diri sendiri.

Saya kira, usaha mencegah lebih baik daripada merawat. Maka, melihat kepada masalah ini HEWI merasa terpanggil untuk berkongsi beberapa tips sebagai langkah pencegahan. Antaranya :

(1) Berhati-hati. Laporkan sebarang kejadian yang mencurigakan kepada pihak tertentu ataupun kepada individu terdekat. Contohnya : laporkan dan hubungi Pihak Keselamatan UTM 07 5530014 atau Felo Kolej .

(2) Pastikan kunci pintu, tutup tingkap serapatnya apabila keluar daripada bilik. Elakkan meletakkan barang berharga berdekatan dengan tingkap bilik.

(3) TIDAK MEMBENARKAN mana-mana lelaki masuk atau melepak di kawasan blok/kolej mahasiswi lewat malam tanpa urusan mustahak. Kalau terjumpa, tegur, mohon individu tersebut untuk beredar segera. Contohnya : couple, melepak dengan “boyfriend” depan foyer/blok siswi. Mahasiswi, mohon untuk tidak mengundang masalah kepada diri sendiri dan mahupun orang lain. Hormati “Privacy” orang lain.

(4) Usaha, doa dan tawakal. Kunci : yakin dan pergantungan tinggi hanya pada Allah SWT. Berdoa agar dilindungi kehormatan dan keselamatan diri/harta.

“Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon keselamatan kepadaMu pada agamaku dan segala urusan duniaku, keluargaku dan hartaku. Wahai Allah, semoga kiranya Engkau tutupi aibku dan mengamankan ketakutanku, menjagaku dari arah depan kanan dan kiriku serta dari arah atasku. Dan aku berlindung dengan keagunganMu dari godaan yang merosak dari arah sahabatku”

(5) Elakkan berjalan seorang pada waktu malam atau ditempat yang sunyi.

(6) Hikmah kewajipan menutup aurat. Islam sendiri telah mengajarkan formula ubat terbaik yang Allah SWT jamin.

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani [al-Ahzab : 59]

Bagi non-muslim juga tidak terkecuali, dinasihatkan agar memakai seluar panjang walaupun sekadar untuk ke MiniMart atau di mana-mana sahaja.

Sama-samalah kita berusaha untuk meminimakan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku kepada mahasiswi dengan menutup peluang-peluang kejahatan disekeliling kita.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat walau secebis ilmu. Akhir kata, jagalah Allah (dengan melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) pasti Dia menjaga kamu. Wallahua’lam.

Nurul Amirah Binti Abd Shukor
Naib Presiden II Sesi 2013/14
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Isu Keselamatan Mahasiswa/i
%d bloggers like this: