Keluaran : Suara Siswa Edisi Rabulakhir 1431H

Oleh : Nur Sabrina Binti Risman

Antara matlamat utama manusia ini diciptakan oleh Allah s.w.t adalah untuk mengabdikan diri kepada Nya seperti yang firmankan oleh Allah dalam surah Az Zariyyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”

Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur dan berseni seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan tarian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi
hukum-hukum syara’.Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghokan manusia. Allah SWT berfirman dalam surah Al Luqman ayat 6 yang bermaksud :

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang bertujuan menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”.

Hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa di samping mematuhi adab-adab Islam. Ini menuntut kesedaran yang tinggi dari setiap Muslim supaya membentuk hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang sesuai dengan penetapan dan susur galur Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Seni tarian juga turut menjadi sebahagian daripada hiburan masa kini malah menjadi amalan sejak zaman Jahiliyyah lagi. Seni tarian dilakukan dengan menggerakkan tubuh secara berirama dan diiringi dengan muzik-muzik tertentu. Namun, apakah pandangan syara’ terhadap seni tarian ini? Apabila kita merujuk kepada fatwa yang telah dikeluarkan di dalam Fataawa Al-Azhar, kita akan mendapati keterangan-keterangan seperti berikut: Antara intisari yang dapat disimpulkan :

1.Pergerakan dan permainan perempuan yang terbuka kepada khalayak boleh menimbulkan fitnah dan hukumnya haram.

2.Perempuan haram menari walaupun dengan suaminya sendiri dikhalayak ramai dan termasuk didalam kumpulan yang melakukan dosa.

3.Keadaan seperti ini adalah satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan lagi dan tidak memerlukan kepada dalil yang jelas bahkan ia boleh difikirkan secara akal sahaja.

4.Sesiapa yang meredhai perbuatan tersebut samada hadir ataupun tidak maka ia adalah maksiat.

Oleh itu, Lujnah Sukan dan Kebudayaan PMIUTM terpanggil untuk meletakkan beberapa garis panduan hiburan sesuai dengan kehendak Islam:

1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW,melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

2- Suatu persembahan yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya. Maka apabila berlaku sedemikian, ia adalah dikategorikan sebagai lagho dan sia-sia. Oleh itu, ia hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qasas ayat 55 :

“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya..”

3- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

4- Orang yang melakukan persembahan tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan persembahan tersebut dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja dan mengghairahkan.

Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan khinzir.”~hadis riwayat ibnu majah~

5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan, sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.Sabda Nabi s.a.w. :

“Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang solah telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.” ~hadis riwayat Muslim~

Islam mengharamkan menampakkan susuh tubuh dibahagian dada dan pinggul,maka terlebih teruk dari itu apabila disertai dengan pergerakan yang gemalai dan membawa kepada fitnah. Maka menjadi tanggungjawab bagi kita semua untuk menjadikan setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup ibadah kepada Allah s.w.t. Diharapkan kita semua semua sentiasa berada dalam petunjuk dan pimpinan Allah s.w.t.

*Penulis merupakan Timbalan Pengerusi Lujnah Sukan Dan Kebudayaan PMIUTM sesi 2009/2010

Hiburan Dalam Islam?
%d bloggers like this: