Oleh : Asmah Andy

Skudai, 2 Jan 2010 : Bertempat di Dewan Sri Resak KTDI telah berlangsung Bengkel Jelas Aqidah (B-JAQ) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Saudara Kita (JKSK) dan PMIUTM dengan kerjasama Pusat Islam UTM. Dengan bertemakan “Tauhid Tunjang Kesatuan Ummah”, bengkel yang julung-julung kalinya diadakan ini mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa mahasiswi UTM dengan penyertaan hampir 200 orang.

Acara bermula kira-kira pukul 10.00 pagi dengan ucapan alu-aluan daripada pihak penganjur. Pembentangan kuliah “Penjelasan Tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah” telah disampaikan oleh Ustaz Faisal bin Mohamed. Pengisian juga turut disampaikan oleh Ustaz Rizal. Para peserta tidak hanya mendengar kuliah yang disampaikan kerana peserta-peserta turut dilibatkan dalam sesi Latihan dalam Kumpulan (LDK). Sesi LDK ini menguji kefahaman setiap peserta terhadap pengisian yang disampaikan dan mereka diminta membuat pembentangan berkaitan persoalan-persoalan sekitar tauhid.

Bercakap kepada pemberita, salah seorang peserta, Fadelah Ramli melahirkan rasa syukur dengan adanya program B-JAQ.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana menjadi antara yang terpilih untuk menyertai program ini. Sememangnya ia satu program yang sangat bagus kerana memberi banyak pendedahan tentang tauhid, yang menjadi tunjang kepada setiap Muslim. Saya sangat berharap dapat mengamalkan ilmu yang diperolehi dan dimanfaatkan untuk masyarakat. Semoga akan ada program lanjutan selepas ini.”

Bengkel ini berakhir kira-kira pukul 11.00 malam dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah dan sedikit ucapan penutup daripada penganjur yang diwakili oleh Saudara Ahmad Razali Yusof yang merupakan Pengerusi JKSK merangkap Pengarah Program B-JAQ ’10.

Hampir 200 peserta sertai B-JAQ ’10
%d bloggers like this: