Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 26 Julai – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bergaji rendah dibenar menangguhkan pembayaran balik bagi meringankan beban mereka ekoran kenaikan kos sara hidup.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mana-mana peminjam yang gaji mereka tidak mencapai satu tahap yang boleh diklasifikasikan sebagai munasabah untuk menanggung perbelanjaan setiap bulan akan diberikan pengecualian tersebut.

“Kerajaan sedang timbang apakah gaji yang sesuai sebelum memulakan pemotongan.

“Contohnya, jika seseorang itu mendapat gaji di bawah RM1,500, mungkin kita tidak akan menuntut bayaran kerana jumlah pendapatan itu agak kecil jika dibandingkan dengan komitmen lain yang perlu dilaksanakan.

“PTPTN akan menuntut bayaran apabila pendapatan peminjam meningkat ke satu tahap yang difikirkan munasabah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam 2008 di sini hari ini yang dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Hadir sama, Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Aminah Ayob.

Kata Mohamed Khaled, kerajaan memahami bahawa peminjam ada kalanya tidak dapat memulakan pembayaran balik serta-merta selepas tamat pengajian.

Setakat ini, terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion.

Sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.

Pada masa sama Mohamed Khaled berkata, caj perkhidmatan PTPTN juga dijangka dikurangkan daripada tiga peratus sekarang kepada satu kadar baru dalam masa terdekat.

“Cadangan kadar baru itu telah dimaklumkan kepada semua kementerian dan maklum balas mengenainya sudah diterima.

“Jika dipersetujui Kabinet, caj baru berkenaan dijangka mula dikuatkuasakan bulan depan, melibatkan hampir 180,000 peminjam,” katanya.

Sebelum ini, caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan berapa kadar caj perkhidmatan baru yang dicadangkan.

Bagaimanapun katanya, dengan pelaksanaan kadar baru caj perkhidmatan itu, PTPTN akan membuat kiraan semula jumlah pinjaman sedia ada yang diperlu dibayar oleh peminjam.

Gaji rendah boleh tangguh pembayaran PTPTN
%d bloggers like this: