Jumaat, 21 Jan 2011 – Bertemakan “Mendepani Arus Ekonomi dalam Konteks Keusahawanan”, forum yang diadakan bersempena Festival Keusahawanan (FEST’U 2011) yang berlangsung semalam telah membariskan ahli panel yang terdiri daripada Saudara Muhajirih Ahmad (Pengarah ES-GLOBE), Saudara Mohd Zaki Haron (Presiden PMIUTM) dan Saudara Munzir Musa selaku moderator forum.

Forum yang berlangsung selama sejam setengah itu membincangkan isu keusahawanan dalam konteks umat Islam serta para mahasiswa universiti. Dalam pusingan pertama, Saudara Muhajirih menyenaraikan antara ciri-ciri seorang usahawan Muslim, iaitu berkata benar dalam setiap kata-katanya, amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya serta menepati semua janji-janjinya. Ini juga merupakan antara ciri-ciri seorang mukmin sepertimana dalam hadis Rasulullah S.A.W.
Ditanya mengenai konteks keusahawanan dalam diri mahasiswa, Saudara Zaki berkata, “Sebagai seorang mahasiswa, kita juga perlu mempunyai kesedaran untuk mempelajari bidang keusahawanan. Di peringkat universiti, kita mempunyai banyak persatuan dan kelab yang kita sertai. Dan kita sangat menggalakkan agar persatuan dan kelab yang ada mampu untuk menjana pendapatan mereka sendiri dan tidak semata-mata mengharap bantuan dana daripada pihak universiti.”
Di samping itu, mengimbas sirah Rasulullah, terdapat banyak contoh-contoh usahawan yang boleh dijadikan model oleh para usahawan masa kini. Contohnya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Abdurrahman bin Auf, bahkan Rasulullah S.A.W. sendiri merupakan antara model usahawan zaman silam yang patut dijadikan contoh dalam memacu ekonomi umat Islam pada masa kini. Pada masa kini, kaum bukan Islam masih mendominasi pasaran perniagaan dan sebagai umat Islam, kita perlu mempunyai kesedaran untuk mengeksplorasi bidang perniagaan dan melaksanakan jihad ekonomi.
Sebagai kesimpulan, Saudara Muhajirih berkata, “Perniagaan merupakan sunnah Rasulullah dan sembilan per sepuluh sumber rezeki adalah daripada perniagaan. Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mempelajari ilmu perniagaan, walaupun tidak terlibat dengannya, tetapi ilmu itu harus dipelajari. Niat menceburkan diri dalam bidang perniagaan haruslah atas dasar ibadah kerana Allah, demi untuk memacu ekonomi umat Islam.”
FEST’U 2011 berlangsung dari 16 hingga 22 Januari 2011 bertempat di Tapak Student Mall anjuran Kelab Keusahawanan UTM.-myLPM

Forum Keusahawanan sempena FEST’U 2011
%d bloggers like this: