CERITERA DI PENGAKHIRAN SYAWAL
===============================

24 syawal, genap 24 hari semenjak Ramadhan meninggalkan kita, lalu kita dapat lihat kesannya kepada manusia di sekeliling kita. Ada yang masih merindui suasana barakah itu, ada yang istiqamah menjalani ibadah-ibadah yang sering dilakukannya semasa Ramadhan dahulu dan ada yang berpuasa 6 iaitu puasa yang disunatkan pada bulan Syawal demi merebut redha Allah S.W.T.

Dari Abu Ayyub al Anshari Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti puasa sepanjang tahun”.

[Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, at Tirmidzi, an Nasaa-i dan Ibnu Majah].

Adalah amat bertepatan jikalau kita menyatakan bahawa salah satu nikmat yang diberikan Allah S.W.T kepada manusia di dunia ini ialah, tak lain dan tak bukan nikmat selera kita menjamu pelbagai jenis makanan yang halal yang menepati syarak-syarak yang digariskan di dalam Islam.

Tetapi, bukankah ia satu kerugian jikalau kita tidak mengorbankan sedikit nafsu makan kita demi melaksanakan puasa sunat pada bulan Syawal yang istimewa, bukan setakat kita memperoleh ganjaran dengan izinNya, malah kita dapat merehatkan perut kita yang sering menghadam pelbagai jenis makanan serta minuman bagi memuaskan keinginan kita. Serta yang paling penting, mengenyangkan keinginan jiwa dengan meningkatkan keimanan.

Betul, bulan Syawal kini semakin hampir melebarkan sayapnya meninggalkan kita demi menyambut pula bulan Zulkaedah, bulan di mana terhentinya segala peperangan. Tetapi, selagi ada kemahuan yang mendalam demi meningkatkan keimanan demi Allah S.W.T, seorang muslim yang tidak mengenal erti putus asa demi meraih kasih sayangNya, bukankah akan selalu mencari peluang walaupun di depannya terlihat garisan penamat? . Sama seperti mencari hikmah tatkala berada di ambang kesulitan. Kerana, Allah melihat kepada usaha dan keikhlasan seseorang bergelar muslim bukan pada perbezaan jurang masa kita dengan orang lain memulakan sesuatu ibadah. Bak kata pepatah Bahasa Inggeris, “There is no start unless we begin it, there are no beginnings if we do not try to do it “. Sesungguhnya tiadalah istilah terlambat dalam memulakan sesuatu kebaikan demi meraih cintaNya.

(Yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang maupun sempit, serta orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (QS Ali Imran [3]: 134).

Oleh kerana itu, marilah kita sama-sama berjuang habis-habisan demi melengkapkan puasa sunat 6 kerana masih belum terlambat untuk kita memulakannya. Semoga Allah S.W.T memilih hati kita yang dahagakan kebaikan, lantas memilih kita sebagai para al-muttaqin iaitu orang-orang yang bertaqwa yang bergegas mengejar kasih Ilahi.

Dan diakhir pesanan berpuasalah kerana Allah, bukan kerana manusia

#PMIBERSAMAMU

CERITERA DIPENGAKHIRAN SYAWAL
%d bloggers like this: