Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di  mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan  inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan mi’raj Nabi Muhammad saw. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual  di mana mereka mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa. Tarikan dan seruan yg ditiup kedalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadat kebanyakkannya dipengaruhi oleh  penyebaran beberapa hadis-hadis yg mengandungi Fadilat-Fadilat beribadat di dalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yg mengandungi fadilat-fadilat bulan Islam begitu laris dipasaran menjelang  bulan Rejab.  Begitu juga di zaman era Internet ini (ICT), e-mail dan maling list yg diforwardkan mengandungi ‘cut & paste’ dari fadilat-fadilat Rejab yang terkandung di dalamnya. Rata-rata tarikan fad’il (fadilat-fadilat) inilah  merupakan faktor penarik kepada kebiasaan orang awam untuk melakukan ibadat sunat. 


USTAZ HAJI MOHD KHALID BIN HAJI ISA AN NADWI 
PEGAWAI AGAMA/KAUNSELOR 
KUB MALAYSIA BERHAD

link di atas menjelaskan dengan lengkap tuntutan ibadah sunnah di bulan Rejab yang mulia ini, pelbagai hadith palsu dikemukan dan disertakan juga hujah-hujahnya. para pembaca digalakkan membaca artikel berbentuk PDF itu dan menyebarkannya.




TUNTUTAN AL SUNNAH: BULAN REJAB


Berkenaan dengan bulan Rejab, sebenarnya tidak terdapat dalil-dalil yang menentukan kelebihan bulan ini. Justeru, dapatlah diringkaskan bahawa bulan ini samalah dengan bulan-bulan lain. Untuk mendapat gambaran ringkas tentang tuntutan al-Sunnah di dalam bulan ini perhatikanlah kenyataan-kenyataan berikut:

1- Al-Quran menjelaskan bahawa bulan Rejab adalah salah satu daripada al-Ashhur al-Hurum (bulan-bulan haram).Firman Allah Ta‘ala (al-Taubah 9:36):
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: Sesungguhnya waktu telah kembali seperti keadaannya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Satu tahun mempunyai 12 bulan. Di kalangannya 4 bulan haram, 3 berterusan; Zul Qi‘dah, Zul Hijjah dan al-Muharram serta Rejab kabilah Mudar di antara Jumada dan Sya‘ban.
2- Tiada solat khas dalam bulan Rejab:
Maksudnya: Imam al-Nawawi telah berkata ‘Para ulamak telah berhujjah dengannya ke atas kebencian solat yang yang bid‘ah ini yang dinamakan al-Raghaib. Semoga Allah memerangi pemalsunya dan penciptanya. Sesungguhnya ia adalah bid‘ah yang munkar yang terdiri daripada bid‘ah-bid‘ah yang sesat dan kejahilan. Di dalamnnya terdapat kemungkaran yang jelas. Sekumpulan para ulamak telah menulis tulisan-tulisan yang bermutu dalam memburukkannya dan menyesatkan orang yang bersolat dengannya dan menciptanya. Dalil-dalil berkenaan kekejiannya, kebatilannya dan kesesatan pembuatnya amat banyak sehingga tidak terbilang.
Maksudnya: Berkenaan dengan solat, di dalam bulan Rejab tidak terdapat solat yang khas untuk bulan ini. Hadith-hadith yang diriwayatkan berkenaan kelebihan solat al-Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah penopuan dan batil serta tidak sah. Solat ini adalah bid‘ah di sisi kebanyakan ulamak… Kali pertama solat ini muncul ialah selepas tahun 400. Oleh sebab itulah ianya tidak diketahui oleh ulamak terdahulu dan mereka tidak membincangkannya.
3- Berpuasa di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
Maksudnya: Semua hadith yang menyatakan puasa bulan Rejab dan solat sebahagian malam-malamnya adalah penipuan yang direka.
Maksudnya: Tidak terdapat hadith sahih yang boleh dijadikan hujah berkenaan kelebihan bulan Rejab, puasa bulan ini, puasa hari-hari tertentu bulan ini mahupun bangun malam tertentu pada bulan ini.

4- Membuat umrah di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
Setakat ini, penulis masih belum berjumpa dengan hadith sahih yang menerangkan kelebihan umrah di bulan Rejab. Ya, terdapat beberapa riwayat golongan Syi‘ah yang mengatakan umrah bulan Rejab adalah umrah yang terbaik. Akan tetapi Ahl al-Sunnah tidak menerima periwayatan mereka di samping riwayat tersebut tidak bersambung kepada Rasulullah s.a.w.
5- Malam al-Isra’ wal-Mi‘raj tidak sah pada malam ke 27 bulan Rejab:
Maksudnya: al-Imam Ibnu Kathir telah berkata (Abdul Ghani al-Maqdisi telah meriwayatkan sebuah hadith yang tidak sah sanadnya dan kami telah jelaskan dalam ‘Fadail Shahr Rajab’ bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada malan ke-27 bulan Rejab, Allah jua yang lebih mengetahui. Ada juga di antara manusia yang menyangka bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada Jumaat pertama dalam bulan Rejab, iaitulah malam al-Raghaib yang dicipta padanya solat yang masyhur, sedangkan tiada asal bagi perkara ini, Allah jua yang lebih mengetahui.)
Kesimpulannya, amalan-amalan di bulan Rejab adalah sama seperti amalan-amalan di bulan-bulan lain. Perkara yang membezakannya ialah bulan ini tergolong dalam bulan-bulan haram yang mana kezaliman dan peperangan tanpa sebab amat dimurkai oleh Allah Ta’ala berbanding dengan bulan-bulan lain.


 PERISTIWA PENTING BULAN REJAB

 1. Hijrah Pertama Dalam Islam
    Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan Isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.
 2. Israk dan Mikraj
     Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Isla wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.

 3. Peperangan Tabuk
    Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut  kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran.Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

4. Pembebasan Baitul Maqdis
    Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah,orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya     ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali     tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

 5.Lahirnya Imam Syafie RH
    Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestine pada tahun 150H bersamaan 767M. Merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.


Rujukan:
LUJNAH PENDIDIKAN DAN KEPIMPINAN,
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM

Ada apa dengan bulan Rejab?
%d bloggers like this: